Selasa, 28 September 2010

Pengertian Perkahwinan

Kedatangan Islam bersama peraturan untuk dijadikan pedoman bagi membina umat yang berbeza dengan masyarakat jahiliyah dan agama lain. Di antara dasarnya ialah sistem kekeluargaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat. Jika keluarga baik, maka masyarakat pun akan baik, begitu juga sebaiknya. Kekeluargaan ialah berkaitan dengan hubungan anggota dalam sesuatu keluarga berasaskan keturunan dan perkahwinan. Perkahwinan merupakan titik awal pembinaan keluarga. Dalam sejarah manusia, semua agama samawi mengakui bahawa perkahwinan yang pertama sekali berlaku di kalangan manusia ialah Nabi Adam AS dan Hawa.

Pelbagai pengertian tentang perkahwinan telah diberikan oleh para ulamak, diantaranya yang terbaik ialah: Suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seoarang lelaki dan seorang perempuan yang bukan muhrim. dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka. Dalam pengertiannya yang luas, perkahwinan adalah satu ikatan lahir di antara dua orang, lelaki dan perempuan, untuk hidup bersama di dalam sebuah rumahtangga disamping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas (disiplin) hak dan tanggungjawab yang telah ditetepkan oleh syarak. Galakan melangsungkan perkahwinan ini dapat dilihat di dalam beberapa ayat al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW.

Sekalipun perkahwinan itu pada asalnya satu amalan yang diharuskan sahaja, tetapi ia kadang-kadang menjadi wajib, kadang-kadang pula ia menjadi haram atau sunat atau makruh atau ia turun ke taraf hukum asalnya, iaitu harus. Apakah sebabnya perubahan itu berlaku?

-ia dihukum wajib ke atas seseoarng yang mampu memberi nafkah lahir dan batin disamping dia tidak mampu mengawal dirinya dari melakuakan zina.
-ia dihukum haram ke atas seseorang yang tidak mampu memberi nafkah lahir dan batin. Jika dia hanya mampu memberikan nafkah batin sahaja maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu akan menjadi sebagai perisai yang dapat mengawal dirinya.
-ia dihukum sunat bagi seseorang yang mampu memberi nafkah lahir dan batin, tetapi dia tidak khuatir tentang dirinya dari melakukan zina, dengan erti dia masih mampu mengawal dirinya dari melakukan perbuatan keji itu.
-ia dihukum makruh keatas seseorang yang tidak mampu memberi nafkah lahir dan batin, tetapi keadaannya tidak memberikan kesan buruk kepada isterinya kerana isterinya seorang yang kaya disamping tidak kuat keinginan untuk melakukan persetubuhan.
-ia dihukum harus bagi seseorang yang mampu untuk berkahwin, tetapi tidak ada perkara/sebab yang mendorongnya untuk berkahwin. Ini adala hukum asal bagi perkahwinan.

Walaupun perkahwinan itu pada asalnya dihukum harus, tetapi umat Islam pada umumnya digalakkan berkahwin kerana sabda Nabi SAW. , Tidak ada kehidupan seperti rahib di dalam islam. Hadis diatas secara tidak langsung mengarahkan kesemua umat islam agar berkahwin, kerana hidup membujang seperti rahib itu bukanlah merupakan cara hidup Islam.

Sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa berasakan kepada beberapa perkara penting yang diistilahkan oleh para ulamak sebgai rukun-rukun perkahwinan. Tanpa sebahagiannya atau salah satunya maka perkahwinan tidak akan wujud. Kesempurnaan serta kesahannya amat bergantung kepada kewujudan kesemua rukun tersebut. Rukun-rukun perkahwinan kesemuanya ada lima iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, 2 orang saksi dan sighaha (ijab dan qabul). Setiap rukun diatas diikat dengan beberapa syarat tertentu agar segala-segalanya berlaku dengan sempurna.

Kesahan sesuatu perkahwinan mempunyai pertalian yang rapat dengan kesempurnaan syarat-syarat kelayakan diri pada pengantin lelaki. Syarat-syarat itu adalah seperti berikut iaitu seorang lelaki yang beragama islam, dia bukan seorang yang dipaksa berkahwin, dia bukan seorang yang sedang berihram kerana mengerjakan haji atau `umrah`. , seorang mukallaf, bukan muhrim bagi bakal isteri, tidak mempunyai empat orang isteri, atau salah seorang dari isteri-isterinya yang empat itu berada dalam `idah raj`i` dan lelaki yang tertentu sebagai suami kepada bakal isteri yang akan dinikahinya.

Jika pengantin lelaki diikat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi maka amat tidak wajar jika pengantin perempuan diabaikan begitu sahaja tanpa sebarang ikatan syarat yang menentukan dirinya sah sebagai seoarang pengantin. Dalam konteks ini kita dapati para ulamak telah mencatatkan beberapa syarat yang berkaitan. Tanpanya, seorang perempuan dianggap tidak layak menjadi pengantin. Syarat-syarat itu adalah seperti seorang yang beragama islaam, seorang perempuan yang bukan di dalam masa idah, seorang yang bukan di dalam ikatan perkahwinan dengan orang lain (iaitu bukan isteri orang), seorang perempuan yang bukan muhrim kepada lelaki yang akan menjadi suaminya, dia bukan seorang yang sedang berihram kerana mengerjakan haji atau `umrah` dan perempuan yang tertentu sebagai isteri kepada bakal suami yang akan berkahwin dengannya.

Terdapat juga perempuan yang tidak harus dikahwininya. Sebagai lanjutan kepada di atas, elok juga diturunkan di bawah ini perempuan-perempuan yang tidak harus dikahwini oleh seseeorang lelaki. Terdapat dua kumpulan orang-orang perempuan yang menjadi muhrim kepada seorang lelaki. Dia sama sekali tidak diharuskan berkahwin dengan mereka, sama ada daripada kumpulan pertama ataupun kumpulan kedua iaitu kumpulan yang tidak diharuskan untuk selama-lamanya iaitu yang dikatakan haram mu`abbad, dan kumpulan yang tidak diharuskan untuk sementara waaktu sahaja iaitu yang dikatakan sebagai haram mu`aqqat.

Kumpulan yang tidak diharuskan untuk selama-lamanya itu terbahagi kepada tiga kelompok iaitu yang pertama mereka yang mempunyai hubungan keturunan dengannya, dan yang kedua mereka yang mempunyai susuan dengannya dan yang ketiga mereka yag mempunyai hubungan persemendaan dengannya. Kelompok yang pertama terdiri daripada ibu sendiri, anak perempuannya, saudara perempuannya, anak perempuan dari saudara lelakinya, anak perempuan dari saudara perempuannya, ibu saudaranya dari sebelah ibu dan dari sebelah bapa. Kelompok kedua terdiri daripada ibu susuannya, saudara perempuan susuannya. Kelompok ketiga terdiri daripada ibu mertuanya, anak tirinya, ibu tirinya, menantu dan adik atau kakak kepada isterinya.

Kumpulan yang tidak diharuskan untuk sementara waktu terdiri daripada saudara perempuan (sama ada kakak ataupun adiknya), Saudara perempuan bapa mentua dan saudara pereempuan ibu mertuanya dan berlainan agama. Dia akan menjadi harus dikahwini dengan memeluk agama islam. Dari itu jelas kepada kita bahawa bukan kesemua perempuan layak dikahwini oleh kaum lelaki. Begitu juga lelaki, tidak kesemua lelaki yang harus menjadi suami kepada kaum perempuan. Lantaran itu perkahwinan yang berlangsung di antara pasangan yang tidak memiliki syarat kelayakan sepenuhnya adalah tidak sah dan persetubuhan yang berlaku di antara mereka di hukum sebagai perbuatan zina. Syarat-syarat ini amat wajar diberi perhatian oleh para juru nikah, sama ada kadi atau lainnya, agar segala-galanya berlangsung dengan sempurna dan diyakini dengan kesahannya.

Wali adalah salah satu rukun dalan perkahwinan. Seseorang wali juga terikat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi yang mesti dipenuhi, tanpanya maka hilanglah kelayakannya. Syarat-syarat itu adalah seperti berikut iaitu dia dikehendaki seorang yang beragama islam, seorang lelaki, sempurna umur baligh, berakal serta waras fikirannya, bebas merdeka, bersifat adil, tidak di dalam ihram kerana mengerjakan haji ataupun `umrah` dan tidak dipaksa untuk menjadi wali. Wali terbahagi kepada dua iaitu wali nasab serta wali hakim. Wali nasab ialah mereka yang mempunyai hubungan darah dengan perempuan yang akan dikahwininya seperti bapa kepada pengantin perempuan, datuknya iautu datuk dari sebelah bapanya. Wali hakim ialah ketua negara islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi daerah atau orang yang mendapat tauliah daripada pejabat-pejabat kadi daerah. Merekalah petugas yang mengahwinkan seseorang perempuan yang tidak mempunyai wali atau apabila wali aqrab enggan mengahwinkan.

Di dalam melangsungkan perkahwinan, selain dari dua pengantin dan wali atau wakilnya, maka dua orang saksi lelaki juga diperlukan. Tanpanya maka sesuatu akad itu dihukum tidak sah. Berikut adalah beberapa syarat yang mengikat kelayakan seseorang untuk menjadi saksi perkahwinan. iaitu disyaratkan dua orang saksi itu terdiri daripada orang-orang lelaki, mereka juga disyaratkan beragama islam, sempurna umur baligh, sempurna pendengaran, boleh bercakap dan melihat, waras fikiran, bersifat adil, faham dan mengerti bahasa yang digunakan di dalan ijab dan kabul, kuat ingatan, tidak dipaksa menjadi saksi dan tidak berada di dalam ihram untuk mengerjakan haji atau `umrah`. Kesemua syarat tersebut adalah diperlukan pada diri seseorang yang akan menjadi saksi. Tanpa salah satunya maka kesaksiannya dikira tidak sah.

Ijab dan kabul kadang-kadang disebut juga sebagai sighah. Ijab bererti pengakuan daripada pihak bakal isteri bahawa dia rela dan bersedia untuk dikahwinkan dengan lelaki bakal suaminya. Kabul pula pengakuan atau jawapan daripada pihak bakal suami bahawa dia menerima kesediaan bakal isteri untuk menjadi isterinya. Kedua-dua ijab dan kabul adalah terikat dengan beberapa syarat seperti kedua-duanya hendaklah dengan lafaz yang terang, tidak disyaratkan dengan sesuatu, tidak mengandungi syarat-syarat yang menyalahi maksud nikah/perkahwinan, bersamaan makna/maksud diantara ijab dan kabul, kedua-duanya dilakukan dengan berturut-turut, lafaz kedua-duanya disebut dengan nada yang dapat di dengar, suami/isteri yang berkaitan di dalam ijab/kabul itu adalah orang-orang yang tertentu.

Dalam pengertian perkahwinan dahulu, telah kita katakan bahawa ia merupakan suatu akad selain dari mengharuskan persetubuhan di antara kedua pasangan suami/isteri, ia juga menimbulkan beberapa hak dan tanggungjawab di antara kedua belah pihak. Dalam huraian berikut, pertamanya kita akan sentuh tentang beberapa hak yang dinikmati oleh seorang isteri yang menjadi tanggungjawab si suami memenuhinya. Di antara hak-hak itu adalah seperti nafkah, gugurnya tanggungjawab mamberi nafkah, hak terhadap pembantu, isteri menganut agama islam, isteri yang murtad, kadar nafkah, pergaulan yang baik, memberikannya bimbingan yang sempurna, mengawal keselamatan diri dan kehormatannya, melayan keperluan batin, dan bersikap adil di antara isteri-isteri.

Maksud hak seorang suami di sini ialah pelbagai tanggungjawab yang tidak seharusnya diabaikan oleh seseorang isteri apabila berlangsung akad perkahwinan di antara mereka berdua. Kedudukan hak ini sama dari segi konsepnya cuma ia berbeza dari sudut perkara yang menjadi hak itu sahaja. Di antara hak-hak itu adalah seperti hak ketaatan serta layanan yang baik, melayan keperluan batin, akur dengan kepimpinan lelaki, melakukan kerja-kerja rumah, memelihara dan mendidik anak-anak, memelihara kehormatan suami dan hartanya, hak menerima pembayaran zakat isteri ketika di dalam kesusahan, hak mengawal hebahan isterinya, tidak harus mengerjakan ibadat sunat tanpa izinnya, tidak harus membenarkan orang memasuki rumah tanpa izinnya, menerima pemberiannya dengan baik, dan menetap di dalam rumah yang telah disediakan.

Suami isteri merupakan insan yang diikat oleh tali perkahwinan. Di antara mereka terdapat hak dan tanggunjawab masing-masing. Kerukunan sebuah rumahtangga sebahagian besarnya amat bergantung dengan mengenali kedua-dua hak dan tanggungjawab masing-masing. Tanpanya hidup mereka bagaikan kapal tanpa kemudi yang dapat mengawal arah pelayarannya. Disamping kedua-dua hak dan tanggungjawab tersebut masih terdapat sejenis hak lagi yang dinamakan sebagai tanggungjawab bersama. Penulis buku al-Sa`adah al-zaujiyyah fi al-Islam telah menyebut dua tanggungjawab tersebut iaitu mengawal kehormatan keluarga dan mendidik anak-anak menurut tatasusila Islam.

Hak anak-anak serta hadanah terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat yang pertama ialah membincangkan tentang hak anak-anak yang menjadi tanggungjawab ibu bapa dan peringkat kedua akan membincangkan tentang hak hadanah. Peringkat yang pertama ialah hak anak-anak ialah pemilihan nama yang baik, memberi nafkah, hak kasih sayang, penjagaan dan bimbingan yang sempurna, layanan yang adil, hak penyusuan, masa memberi penyusuan. Peringkat kedua ialah hadanah. Hadanah ialah pemeliharaan kanak-kanak yang masih kecil sama ada lelaki dan perempuan, atau kanak-kanak yang bodoh yang tidak mumayyiz, sesudah berlaku penceraian antara kedua ibu bapa mereka. Dalam perbincangan ini kita akan tumpukan kepada penjagaan kanak-kanak yang masih kecil kerana itu sahaja yang dimaksudkan dengan hadanah disini.

Kadangkala berlaku ketegangan dalam hubungan suami isteri. Segala usaha telah dilakukan, sama ada dari pihak mereka sendiri atau dengan pertolongan keluarga, tetapi masih juga menemui jalan buntu. Maka pada saat itu, tidak ada pilihan lain lagi bagi mereka kecuali berpisah/bercerai. Definisi talaq atau perceraian, jika dilihat dari sudut bahasa, mengertikan tindakan melepas atau menguraikan ikatan. Dari sudut istilah ia bermaksud tindakan melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz(perkataan) yang tertentu, iaitu talaq(perceraian), firaq(perpisahan) dan sarah(pelepasan). Penceraian merupakan suatu perbuatan yang halal tapi ia amat dibenci oleh Allah.

Terdapat 3 bentuk perkahwinan dalam sejarah manusia iaitu poligami. Poligami ialah perkahwinan antara seorang lelaki dengan ramai wanita. Ada bangsa yang mengamalkan poligami tanpa had. Islam hanya membenarkan poligami yang tidak melebihi empat orang isteri sahaja dengan syarat yang ketat. Poliandri ialah perkahwinan di antara perempuan dengan beberapa orang lelaki. Monogami pula ialah perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja.

Sebuah rumahtangga yang tenang, harmoni dan selesa menjadi impian tiap pasangan yang berkahwin. Atas dasar inilah mereka cuba jelmakan igauan itu agar menjadi sesuatu kenyataan yang dinikmati bersama. Akhirnya, sebelum menamatkan kerja kursus ini, saya berserah sahaja kepada Yang Maha Mengetahui, semoga dapat memberi sumbangannya kepada pembinaan sebuah keluarga yang bahagia. Sama-samalah kita amalkan sikap berpesan-pesan dalam menghayati kebenaran.


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Nor Dalila Bt Yeop