Isnin, 27 September 2010

Matlamat Hidup Seorang Pelajar Muslim

Islam mengajar umatnya untuk mengejar kebahagiaan dunia dan juga akhirat. Ia mempunyai cara tersendiri dalam mengatur hidup umatnya. Seseorang pelajar Islam mempunyai matlamat hidup berbeza dengan yang bukan Islam. Ia tetap akan memegang teguh pada prinsip hidup Islam walau di mana dia berada. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan alam sekeliling. Ibarat ikan yang berenang di laut masin. Kemasinan air laut tidak akan menjadikan dirinya masin, selagi ikan itu hidup. Begitu juga dengan jiwa seseorang manusia. Jiwa yang disuburkan oleh iman tidak akan terjerumus ke dalam kerosakan alam sekeliling.

Pelajar Islam yang sejati tidak akan mudah menerima cara hidup yang berlainan dari yang ada dalam Islam, walau dia tercampak di tengah kehidupan jahiliah atau masyarakat kafir yang tidak kenal Tuhan. Dia cukup sedar matlamat Allah menjadikan dirinya sebagai manusia di muka bumi ini bukan untuk bermain-main dan berfoya-foya. Tidak sama dengan kejadian seseekor binatang yang hanya berkehendak kepada makan, minum, berkahwin, beranak-pinak dan mati. Setelah mati, binatang tidak akan berhadapan dengan persoalan Munkar dan Nakir. Mereka tidak akan menemui Hari Pembalasan di Padang Mahsyar. Mereka tidak akan menerima pembalasan syurga atau neraka.

Tanpa memikirkan ini semua, seseorang akan hidup berlandaskan hawa nafsu semata. Sebagai pelajar yang bijak, kita patut sedar dengan pesanan Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa orang yang bijak ialah orang yang mengingati mati. Hendaklah kita sedari bahawa kita diciptakan oleh Allah kerana dua sebab sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. ” (Az-Zariat:56) Oleh itu walau siapa pun kita, tetap tidak akan dapat lari dari dua peranan iaitu sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Sebagai hamba Allah, kita berperanan melaksanakan tanggungjawab untuk menuntut ilmu. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud “Menuntut ilmu itu wajib atas tiap-tiap Muslim. ” Sabdanya lagi, “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China sekalipun. ” (Riwayat Ibnu Uda dari Al-Baihaqi dan Anas). Islam menekankan umatnya agar menuntut ilmu. Menurut hadis di atas, wajib ke atas umat Islam menuntut ilmu. Maka sekiranya umat Islam mengabaikannya, maka berdosalah ia. Suruhan Islam agar umatnya menuntut ilmu bukanlah untuk mengejar sijil, ijazah, pangkat dan harta semata.

Ilmu memang perlu untuk hidup maju dan bertamadun. Islam tidak menghalang pembangunan dunia sama sekali. Malah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, Islam menuntut umatnya agar membina tamadun berasaskan syariat Allah. Tanpa ilmu, bagaimanakah manusia dapat membina tamadun?

Islam mensyariatkan umatnya mendirikan solat secara berjemaah. Untuk mendirikan solat berjemaah seperti solat Jumaat, perlulah ada sebuah bangunan besar untuk menampung sekurang-kurangnya 40 orang umat Islam. Syarat sah solat adalah menutup aurat. Menutup aurat perlukan kain dan kain diperbuat daripada benang. Untuk membina bangunan, seperti rumah untuk tempat berlindung , masjid untuk beribadah perlukan pengetahuan. Untuk membuat pakaian demi menutup aurat juga perlukan pengetahuan dalam bidang pertanian dan tenunan. Pengetahuan diperlukan untuk menanam pokok kapas, memproses benang seterusnya untuk membuat kain.

Dengan menegakkan syariat itu sendiri bererti menegakkan tamadun. Maka, bagaimanakah yang dikatakan bahawa Islam menolak tamadun dunia?

Walau bagaimanapun, kemajuan material semata dengan mengabaikan kemajuan rohaniah akan menghasilkan tamadun yang pincang sebagaimana tamadun yang dibina oleh orang-orang Barat. Tamadun material mereka tinggi sehingga menyebabkan sesetengah negara lain tunduk dan bergantung kepada mereka. Tetapi pada masa yang sama, mereka mempunyai ramai golongan pesakit jiwa.

Islam amat mementingkan pembangunan rohani. Demi menegakkan tamadun Islam, pelajar atau siswa Islam perlulah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang menjadi teras dalam ajaran Islam, di samping ilmu pembangunan dunia. Dengan adanya ilmu teras ini iaitu ilmu fardhu ain, para pelajar dan siswa tidak akan tersesat jalan. Tamadun material yang dibina tidaklah akan pincang sebagaimana tamadun orang Barat. Antara jenis-jenis ilmu yang menjadi teras dalam ajaran Islam adalah ilmu Tauhid, ilmu Fekah dan ilmu Tasawwuf.

Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membahaskan tentang akidah. Ia berkaitan dengan Rukun Iman iaitu kepercayaan kepada Allah, Rasul, malaikat, kitab-kitab, hari Akhirat dan Qada’ Qadar. Ilmu Tauhid menjadi tunjang kepada segala ilmu. Tanpa pengetahuan di bidang ini, seseorang boleh menjadi sesat. Segala ilmu yang wujud di alam ini semuanya mesti dikaitkan dengan Allah sebagai sumber pengatur dan pencipta alam ini. Samada ianya merupakan ilmu Biologi, Matematik dan Sains.

Terjadinya “Teori Darwin” yang mengatakan bahawa manusia berasal dari beruk adalah kerana asal usul kejadian manusia itu tidak dikaji menurut perspektif Islam. Di dalam Al-Quran, Allah telah menjelaskan bahawa manusia itu dijadikan dari setitis air mani. Terjadinya gunung-ganang, struktur Geografi seperti lembah, lurah, gunung berapi, angin, taufan, dan lain-lain perubahan rupa bumi harus dikaitkan dengan Allah. Hasilnya, akan bertambah mendalam rasa takut, gerun seseorang terhadap Tuhan yang menciptanya. Tidaklah dengan sewenang-wenangnya dia akan melanggar perintah Allah kerana telah mempelajari sifat-sifat Allah melalui ilmu Geografi.

Malang sekali nasib umat Islam di zaman ini, di mana ilmu pengetahuan telah dikuasai oleh orang kafir yang memang sengaja mahu menjauhkan orang Islam dari Tuhannya. Ilmu-ilmu yang asalnya milik orang Islam, diambil dan diubah suai menurut kehendak mereka. Seterusnya dihidang dan disuap kembali ke minda umat Islam. Maka jadilah umat Islam sekarang rosak sepertimana rosaknya orang bukan Islam.

Para pelajar perlulah melengkapkan diri mereka dengan ilmu Tauhid ini. Contohnya mengetahui dengan yakin akan segala sifat-sifat Allah yang wajib, mustahil dan harus, dengan dalil akli dan nakli. Dengan adanya ilmu ini, para pelajar mempunyai keyakinan yang padu terhadap Allah. Setelah mengetahuinya, para pelajar hendaklah faham dan yakin akan kekuasaan-Nya. Sebagai contoh pelajar mengetahui bahawa Allah itu bersifat Ada, Maha Mendengar dan Maha Melihat. Pelajar yakin akan kewujudan Allah, betapa Allah Maha Mendengar setiap apa yang pelajar lakukan, yang pelajar bisikkan di dalam hati dan segala lintasan hati. Allah Maha Melihat segala apa yang pelajar lakukan; samada yang terang atau tersembunyi, dan segala perbuatan pelajar akan ditanya oleh Allah di Akhirat. Perkara yang haram dan berdosa pasti akan diazab dengan neraka Allah yang dahsyat dan tidak berkesudahan itu. Selain itu, pelajar juga hendaklah faham dan yakin akan kewujudan alam Akhirat.

Pelajar yang cerdik dan pintar sedar bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap masalah yang dihadapi. Mereka akan sentiasa mengadu hanya kepada Allah. Namun, sungguh malang sekali pada ketika ini sebilangan pelajar hanya mengambil perhatian untuk mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu Kimia, Fizik, Matematik dan Astronomi. Malah, mereka seringkali mengabaikan ilmu Tauhid. Masa, tenaga dan wang ringgit banyak dihabiskan untuk mengkaji ilmu-ilmu lain sahaja. Mereka lebih mahir tentang bentuk bumi yang sulit dan rumit dari suasana kiamat yang dahsyat. Mereka juga lebih yakin pada teori-teori Sains dari janji-janji Allah yang termaktub dalam Al-Quranul Karim. Akibatnya, mereka tidak sayang pada Islam, tidak cinta pada Allah dan tidak taat kepada hukum-hukum Allah. Mereka menganut Islam bukan atas ilmu dan keyakinan tetapi kerana tradisi iaitu Islam kerana ibu bapa mereka orang Islam. Iman mereka ialah iman Taqlid, iaitu beriman dengan Rukun Iman hanya secara menurut orang lain. Malah terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mengambil berat untuk memberi pelajaran ini kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan pelajaran yang ada nilai komersial seperti Sains dan Matematik. Mereka bimbang anak-anak mereka akan melarat di dunia jika tidak berpelajaran tinggi. Tetapi mereka tidak pernah bimbang akan nasib anak-anak ini akan terseksa dan melarat terhina di neraka Allah. Kesimpulannya, para pelajar tidak seharusnya mengabai dan mencuaikan ilmu Tauhid ini.

Ilmu Fekah pula adalah ilmu yang membahaskan tentang cara-cara beribadah kepada Allah, syarat-syarat sah, batal dan sebagainya. Contohnya cara-cara bersolat, syarat-syarat sah dan batalnya, perkara-perkara yang membatalkan wuduk, cara-cara mandi hadas dan sebab-sebabnya serta cara-cara menutup aurat dan sebagainya. Jika seseorang itu jahil tentang perkara-perkara yang berhubung dengannya, ibadah tidak dapat dilakukan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Akibatnya, sia-sialah ia kerana Allah tidak menerimanya.

Ilmu Tasawwuf pula membicarakan tentang akhlak, iaitu akhlak dengan Allah dan sesama manusia. Ia menerangkan tentang sifat-sifat yang baik (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh manusia dan menerangkan juga tentang sifat-sifat buruk (mazmumah) yang mesti kita hindari. Dengan adanya sifat-sifat buruk seperti berdendam, buruk sangka dan sebagainya akan menyebabkan ibadah kita tidak akan diterima walau sebanyak manapun ia.

Allah tidak melarang umat Islam menuntut ilmu-ilmu lain atau menuntut ilmu dari orang bukan Islam, asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat Allah. Haram belajar ilmu yang bertentangan dengan syariat Allah seperti ilmu sihir dan ilmu muzik. Kadangkala sesuatu ilmu itu dibenarkan di sisi Islam. Tetapi oleh kerana niat menuntut ilmu itu tidak kerana Allah, maka ia tidak memberi manfaat yang baik kepada si penuntut. Natijahnya, ia tidak membawa seseorang itu hampir dengan Tuhannya. Selain itu, semakin tinggi ilmu yang diperolehinya semakin dia jauh pula dari Allah. Hal ini kerana dia menggunakan kepakarannya bukan untuk dimanfaati oleh masyarakatnya, tetapi untuk menindas, menipu dan menyelewengkan harta orang lain. Imbalan yang didapati dari kepakarannya dalam sesuatu bidang digunakan untuk berfoya-foya.

Lebih dahsyat lagi terdapat sesetengah orang yang pakar di sudut agama, yakni yang mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidang agama, sanggup menyelewengkan hukum-hukum Allah demi mendapat harta dunia. Kesannya, masyarakat jahil dengan ilmu agama. Maka berlakulah maksiat dan pelbagai gejala krisis moral dalam masyarakat pada masa kini termasuklah pengambilan dadah yang membinasakan diri.

Sebagai hamba Allah, pelajar hendaklah sedar akan hakikat diri. Manusia dijadikan Allah dari setitis air mani yang hina, yang mana jika ia tidak dijatuhkan ke dalam rahim seorang perempuan, nescaya ianya tidak akan berharga. Maha Suci Allah yang telah menjadikan setitis air mani ini kepada seorang manusia yang lengkap segala anggota, akal dan fikiran. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari dalam kandungan, kita dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan lemah. Kemudian membesar dan menjadi seorang manusia yang kuat dan sempurna. Kacak, jelita, menawan dan berupaya mengurus keperluan diri tanpa bantuan orang lain. Seterusnya akan menjadi tua dan akhirnya mati. Walau siapa pun diri kita, kita tetap tidak akan terlepas dari persoalan mati dan perhitungan di Hari Akhirat. Inilah hakikat hidup manusia yang perlu kita sedari.

Selain itu, sebagai hamba Allah, kita perlulah memperhambakan diri kepada Allah yang telah menjadikan diri kita. Memperhambakan diri kepada Allah bermaksud beribadah kepada-Nya. Ibadah hendaklah dilaksanakan dengan tepat dan betul mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Terdapat tiga bentuk ibadat yang mencakupi seluruh hidup kita iaitu ibadah asas, ibadah cabang dan ibadah umum.

Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah asas? Ia merangkumi persoalan-persoalan mengenai akidah dan keyakinan kita kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, Rasul-rasul, hari pembalasan dan untung baik serta jahat. Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan rukun haji juga termasuk dalam ibadah asas ini. Rukun Islam dan Rukun Iman ini wajib bagi setiap umat Islam, yakni bererti bahawa sebelum kita dapat melaksanakan ibadah-ibadah lain, kedua-dua perkara ini perlu ada pada diri kita.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan ibadah cabang? Ia berkait rapat perkara-perkara yang berhubung dengan pengurusan mayat, membangunkan sistem pendidikan dan pelajaran Islam, mewujudkan sistem ekonomi Islam seperti perusahaan asas yang menjadi keperluan setiap umat Islam. Contohnya seperti perusahaan untuk menghasilkan makanan asas seperti beras, gandum, gula, tepung, garam, kicap dan perusahaan minuman seperti susu, kopi, teh dan lain-lain bentuk minuman ringan. Mengusahakan bidang-bidang seperti pertanian dan perikanan seperti menghasilkan ikan basah atau kering.

Perkara-perkara ini merupakan soal asas dalam perjuangan menegakkan ibadah kepada Allah. Sudah pasti kita tidak mahu darah daging kita bercampur dengan zat yang bertentangan dengan syariat Allah. Hal ini pasti akan merosakkan ibadah asas kita. Malah, Rasulullah SAW ada menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa hati itu ditempa dari makanan. Oleh itu, dalam menegakkan bentuk pendidikan dan pelajaran, kita mesti menitikberatkan hasil mutlak dari acuan pendidikan kita iaitu rupa jiwa kanak-kanak yang diacu dari peringkat tadika, menengah dan universiti.

Kesimpulannya, ibadah cabang merupakan ibadah yang menjadi fadhu kifayah ke atas umat Islam untuk melaksanakannya. Perkara ini amat besar ertinya kepada seluruh individu Islam kerana tanpa pelaksanaan secara total dari satu-satu pihak, maka seluruh masyarakat itu akan menerima dosa daripada Allah. Namun seandainya terdapat satu pihak melaksanakan tuntutan fardhu ini, maka pihak itu telah melepaskan tanggungan dosa bagi seluruh masyarakat Islam.

Ibadah umum pula bermaksud perkara-perkara yang harus dikerjakan. Tetapi jika dilakukan mengikut sunnah boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala. Antara yang tergolong dalam amalan-amalan ini adalah seperti makan, minum, tidur, menguap, berbaring, berjalan-jalan, berehat-rehat dan sebagainya. Menghambakan diri kepada Allah juga bermaksud sentiasa menghubungkan hati dengan Allah. Iaitu, sekiranya kita beribadah hendaklah kita rasa bahawa ibadah itu merupakan hadiah Allah kepada kita. Kenapa dikatakan ‘hadiah Allah’ kepada kita? Hal ini kerana sekiranya Allah tidak mengurniakan kekuatan kepada kita untuk beribadah kepada-Nya, mampukah kita melaksanakan ibadah itu? Sekiranya Allah tidak mengurniakan kita taufik, rasa ingin beribadah, rasa indah dengan Islam, rasa seronok bermunajat kepada Allah, mampukah kita mendirikan solat menunaikan haji ke Mekah atau mendengar ceramah agama?

Berapa ramai orang yang dikurniakan Allah badan yang sihat, akal yang waras, harta yang banyak, tetapi tidak menggunakan segala nikmat Allah itu pada jalan yang diredhai-Nya? Malah mereka menggunakannya pada jalan maksiat. Contohnya menggunakan masa yang lapang untuk berpeleseran di kelab-kelab malam, menghabiskan waktu dengan berfoya-foya, berkhayal dan sebagainya. Maka itulah dikatakan bahawa setiap ibadah yang kita lakukan merupakan ‘hadiah’ Allah kepada kita.

Untuk itu perlulah setiap hamba bersyukur kepada Allah di atas setiap nikmat pemberian Allah, terutama nikmat dapat melakukan ibadah. Sebaliknya, apabila ditimpa musibah, hendaklah seseorang hamba merasakan bahawa itu merupakan isyarat tanda kemurkaan Allah kepada kita. Mungkin selama ini kita lalai terhadap suruhan Allah. Jika kita malu dihina, diherdik dan dihukum oleh guru, mengapa kita tidak malu dengan Allah yang telah memberi kita segala nikmat-Nya? Bila didatangkan ujian seperti dimarahi oleh ibu atau dilukai hati, hendaklah kita rasai betapa Allah marah kepada kita kerana mengabaikan perintah-Nya selama ini. Allah datangkan ujian dalam bentuk hinaan manusia kepada kita supaya kita sedar betapa sakitnya dihina di dunia. Hendaklah kita insaf, bertaubat dan membuat perubahan diri.

Kita juga hendaklah merasa takut dan menyesal apabila terbuat dosa, apatah lagi untuk membuat dosa secara sengaja. Apabila memandang alam, seseorang hamba hendaklah merasa kebesaran Allah. Betapa Allah Maha Pencipta dan Maha Berkuasa menjadikan segalanya. Manakala, apabila melihat kesusahan orang lain, hendaklah kita sedar bahawa itu merupakan cubaan Allah kepada kita yang diliputi kesenangan. Sejauh manakah kita terdorong untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.

Orang yang sedar dirinya hamba Allah, apabila mendapat kejayaan, akan merasa bahawa itu merupakan bantuan dari Allah ke atas dirinya. Dia tidak akan sombong, mendabik dada merasa bahawa dirinyalah yang paling pandai, dirinyalah yang paling bijak. Bahkan kejayaannya itu dianggap sebagai satu kurniaan Allah kepadanya. Sekiranya dia mempunyai IQ yang tinggi, akan dipergunakan kecerdikannya untuk membantu rakan-rakan yang lemah di dalam pelajaran. Dia sama sekali tidak memandang hina terhadap mereka. Dia sedar IQ yang tinggi dan kecerdikannya itu merupakan kurniaan Allah kepadanya. Dia sentiasa merasa lemah, hina dan sentiasa meminta serta berharap kepada Allah. Dia juga sentiasa merasa bersalah kepada Allah walaupun tidak membuat kesalahan. Dia redha dengan setiap takdir yang menimpanya kerana dia sedar ia adalah dari Allah.

Peranan kedua pelajar ialah sebagai khalifah Allah. Bila disebut tentang khalifah, bermakna dia merupakan seorang pemimpin yang diberatkan dengan tanggungjawab tertentu. Ia samada berbentuk rasmi seperti ketua pelajar, wakil pelajar, presiden persatuan atau tidak rasmi seperti sebagai anak sulung, ketua keluarga dan kakak serta abang kepada adik-adiknya. Sudah pasti tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah berusaha menjalankan amanah sebagai pemimpin dengan penuh keikhlasan dan bertanggungjawab menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.

Antara kaedah untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan adalah seperti mengadakan hubungan silaturrahim sesama manusia melalui solat berjemaah, berjual-beli, bergotong-royong dan sebagainya. Selain itu, segala aktiviti yang dilakukan hendaklah mengikut lima syarat Islam. Antara lima syarat tersebut adalah tidak melakukan perbuatan haram seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, berakhlak buruk dan sebagainya. Di samping itu, kita hendaklah tidak meninggalkan perkara asas dalam Islam seperti solat lima waktu. Jenis aktiviti yang dijalankan pula mestilah sesuatu yang dibenarkan oleh syariat Islam. Bukan itu sahaja, sebagai khalifah Allah juga, pelajar hendaklah menggunakan segala nikmat pemberian Allah berupa ilmu, tenaga, pangkat, kekayaan dan kepakaran untuk perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, kepakarannya di bidang perubatan sakit puan digunakan untuk memberi khidmat perubatan percuma kepada orang miskin. Dia tidak menggunakan kepakarannya untuk perkara haram seperti terlibat dalam pengguguran bayi secara haram.

Matlamat pendidikan Islam adalah untuk melahirkan insan yang berjiwa taqwa, iaitu hamba Allah yang hidupnya hanya untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah. Sekiranya pelajar berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang telah dihuraikan, bermakna pelajar bukan sahaja telah berjaya menjadi manusia yang dikasihi Allah, bahkan menjadi seorang pelajar, mahasiswa dan remaja yang mempunyai identiti dan wawasan hidup yang tersendiri. Oleh itu, pelajar tidak perlu tunduk atau terikut-ikut dengan sebarang ideologi atau cara hidup Barat. Pelajar juga tidak mudah diperkotak-katikkan oleh unsur-unsur yang memang sengaja mahu merosakkan remaja Islam dan masa depan Islam itu sendiri.

Pelajar seharusnya memahami status diri, iaitu pelajar, mahasiswa atau remaja merupakan aset negara yang tidak ternilai harganya. Pepatah ada mengatakan bahawa “Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang negara”. Oleh itu, di tangan remajalah letaknya harapan negara. Sebagai pelajar dan remaja Islam, kita hendaklah mewujudkan ketrampilan diri kita sebagai seorang Islam. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan gaya hidup pelajar bukan Islam. Buktikannya melalui akhlak yang indah, cara hidup sunnah Rasulullah SAW di samping kecemerlangan di bidang akademik dan kokurikulum.

Sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya mengikat minda hanya pada bidang akademik dan kehidupan di sekitar kampus dan universiti sahaja. Kita seharusnya membuka mata pada masyarakat dan dunia luar, selain peka dengan isu semasa. Sebagai bakal pemimpin, kita seharusnya matang dalam menilai isu-isu semasa, berupaya menganalisa dan menyelesaikan masalah menurut perspektif Islam. Dengan ini, dapat mewujudkan pemimpin Islam yang berwibawa dan berjaya mencetuskan suasana masyarakat Islam yang sebenar.

Di sudut keluarga pula, pelajar Islam merupakan aset di dunia dan akhirat. Pembabitan pelajar dalam gejala sosial seperti melepak, mengambil dadah dan sebagainya merupakan satu kepincangan besar. Ibubapa juga akan menanggung beban dosa di akhirat. Dosa yang dilakukan remaja juga akan mengheret ibu dan bapa ke neraka Allah. Sanggupkah remaja melihat ibubapa yang telah bersusah payah memelihara, membesarkan remaja diseksa Allah di neraka kelak? Semuanya kerana dosa yang kita lakukan sendiri. Sesetengah daripada kita bercita-cita untuk berjaya dalam hidup agar dapat membalas jasa ibu dan bapa yang telah banyak berkorban demi kesenangan hidup kita. Namun, memberi keselesaan hidup di dunia dalam bentuk material sahaja tidak mencukupi untuk membalas jasa mereka.

Salah satu ciri anak yang soleh ialah anak yang mendoakan kedua ibubapanya. Untuk membalas budi ibubapa, remaja hendaklah menjadi hamba yang taat kepada Allah, melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Dengan menjadikan matlamat hidup dan menjalani hidup sebagai insan yang bertaqwa bukan sahaja menjamin keselamatan hidup remaja di dunia, bahkan di akhirat juga. Di akhirat, ibubapa akan dibalasi Allah dengan nikmat syurga kerana telah melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Matlamat kedua pendidikan Islam adalah untuk melahirkan insan-insan yang sanggup bekerja sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mereka bekerja sepenuh masa dengan kerajaan Allah untuk membangunkan syariat Allah dan melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah. Mereka tidak terikat oleh gaji dan masa. Sebagai individu remaja Islam, kita berperanan menegakkan lima hukum-hukum Allah dalam setiap bidang kehidupan. Iaitu melaksanakan ibadah wajib dan sunat, menjauhi yang haram dan makhruh, dan menjadikan perkara yang harus sebagai ibadah. Bidang kehidupan yang dimaksudkan di sini adalah segala aspek kehidupan seperti perubatan, pendidikan, pertanian, ekonomi, perhubungan dan lain-lain.

Kesimpulannya, pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang belajar untuk mendapat keredhaan Allah dan bercita-cita menggunakan kepakarannya untuk menegakkan tamadun Islam. Selain berusaha untuk mencapai kejayaan di bidang akademik, dia sama sekali tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah. Kepandaian tidak mendorongnya untuk menjadi sombong, sebaliknya merasakan bahawa ia adalah kurniaan daripada Allah yang perlu dipelihara haknya. Akhlak sesama manusia juga sentiasa dijaga dan dipelihara demi mendapat keredhaan daripada Allah SWT.