Isnin, 27 September 2010

Pengertian Nikah

Nikah mempunyai dua pengertian. Pertama dengan makna lughawi iaitu berkumpul dan berhimpun. Kedua dengan makna syar’i, iaitu akad yang mengandungi rukun dan syarat yang menghalalkan perhubungan intim.

HUKUM BERKAHWIN ATAU BERNIKAH

Pada asalnya, hukum berkahwin atau bernikah adalah harus tetapi hukum tersebut boleh berubah mengikut situasi. Hukum tersebut boleh jatuh:
a)Wajib – bagi mereka yang mampu zahir dan batin serta menambah taqwa dan menjauhkan diri melakukan zina.
b)Haram – bagi mereka yang tidak mampu zahir dan batin.
c)Sunat – bagi mereka yang mampu zahir dan batin tetapi masih mampu mengawal diri daripada melakukan zina.
d)Makruh – bagi mereka yang tidak mampu zahir dan batin, tetapi tidak memudaratkan isterinya kerana isterinya kaya dan tidak kuat keinginannya untuk melakukan hubungan intim.
e)Harus – bagi mereka yang tidak ada halangan untuk berkahwin dan tidak ada pula sesuatu perkara yang mendorong dirinya berkahwin.

Hidup membujang telah dilarang dalam Islam. Ini bersamaan dengan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Tidak ada hidup membujang. Mereka yang hidup membujang adalah seperti rahib (hidup bertapa) dan mengharamkan yang halal.

Jika seseorang itu tidak mapu berkahwin, mereka hendaklah berpuasa. Rasululah SAW. telah bersabda, yang bermaksud:
Wahai para pemuda, barang siapa yang telah mampu melakukan kelamin hendaklah berkahwin, maka sesungguhnya berkahwin menutup pandangan dan memelihara kemaluan daripada melakukan zina. Kalau tidak mampu, berpuasalah kerana puasa itu menjadi perisai (penghalang) baginya.

Bagi seseorang yang berkemampuan untuk untuk berkahwin tetapi tidak mahu berkahwin merupakan orang yang tidak suka kepada sunnah Rasulullah SAW. baginda bersabda yang bermaksud:
Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala aku tidak berpuasa, aku sembahyang dan aku tidur, aku juga berkahwin dengan permpuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikut aku.

Terdapat beberapa hikmah apabila melangsungkan pernikahan. Antaranya ialah untuk mententeramkan jiwa, menutup pandangan dari melihat wanita yang bukan mahram, mengikat kasih sayang dan untuk melahirkan ummah.

Bagi seorang lelaki, terdapat beberapa cara yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW. untuk memilih calon isteri seperti mana yang terkandung di dalam hadith baginda yang bermaksud:
Kahwinilah wanita tu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat.

Yang dimaksudkan dengan wanita yang beragama ialah wanita yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya seta berpegang teguh dengan perintah-Nya dan melahirkan simpati terhadap ajaran agama. Mereka yang berkahwin kerana agama akan dikurniakan oleh Allah rezeki yang lumayan. Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Seorang lelaki yang mengahwini wanita kerana agamanya akan dikurniakan oleh Allah akan harta.

Bagi mereka yang berkahwin kerana mengharapkan harta isterinya hanya akan menjadikan dirinya miskin. Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Mereka yang mengahwini seseorang perempuan kerana hartanya, tidak bertambah hartanya, malah menjadikan dirinya papa.

Mereka yang berkahwin semata-mata kejelitaan dan kecantikan isterinya hanya akan merosakkan diri mereka sendiri. Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud:
Jangan kamu kahwini perempuan itu kerana melihat kecantikannya, boleh jadi kecantikannya itu akan membawa kerosakan kepada diri mereka sendiri.

Manakala mereka yang berkahwin semata-mata kerana keturunan isterinya pula akan menyebabkan keturunan mereka tidak akan bertambah kehormatan dan kemuliannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Mereka yang mengahwini seorang perempuan kerana kebangsawanannya, Allah tidak akan menambahkan kemuliannya, kecuali kehinaan.

PEMINANGAN

Terdapat beberapa perkara yang ditekankan dalam pemilihan semasa peminangan. Antaranya ialah perempuan itu mestilah perawan atau suci, perempuan tersebut boleh melahirkan zuriat dan juga perempuan yang teguh dengan ajaran agama.

Sebaik-baiknya, tabiat seorang wanita yang paling baik dijadikan isteri ialah wanita yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadith baginda yang bermaksud:
Sebaik-baik wanita adalah yang apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.

Dalam hukum syara’, harus bagi seseorang yang meminang melihat perempuan yang dipinang tetapi hanyalah pada bahagian muka dan dua tapak tangan sahaja, kerana kedua-dua bahagian itu sudah cukup untuk membayangkan bentuk dan kecantikan perempuan tersebut.
Hikmah Islam menyuruh peminang itu melihat perempuan yang dipinang adalah supaya suami isteri itu hidup dalam aman tenteram. Rasulullah SAW. sendiri menyuruh sahabatnya, Mughirah bin Syukbah supaya melihat perempuan yang telah dipinangnya. Sabda Rasulullah SAW. dalam hadithnya yang bermaksud:
Lihatlah dahulu perempuan itu, maka melihatnya adalah pokok utama bagi suami isteri hidup dalam aman damai.

Dalam Islam tidak mewajibkan lelaki itu sendiri melihat erempuan yang dipinangnya, tetapi boleh mengutus seorang perempuan yang dipercayainya. Rasulullah SAW. sendiri telah mengutus Ummi Sulaim kepada seorang wanita. Sabda baginda yang bermaksud:
Perhatikanlah kepada hujung tumitnya dan ciumlah tengkuknya.

PERTUNANGAN

Dalam pertunangan, pembirian merupakan adat atau kelaziman yang dilakukan di negara kita. Adat ini tidak bercanggah dengan prinsip Islam malah adat ini dianggap satu perkara yang baik dan selaras dengan kehendak syara’.

Jikalau pertunangan tersebut putus disebabkan oleh sesuatu perkara, tidak harus bagi lelaki yang meminang atau keluarganya menuntut kembali pemberian pertunangan itu, tetapi jika pihak perempuan atau keluarganya sukarela mengembalikan semula pemberian tersebut, pihak lelaki harus menerima kembali pemberian itu.

Perkahwinan yang sebaik-baiknya ialah persetujuan kedua belah pihak yang bakal menjadi suami isteri dengan direstui oleh ibu bapa kedua belah pihak supaya suami isteri itu hidup dalam rumah tangga yang bahagia.

HAK DAN KEWAJIPAN SUAMI ISTERI

Menurut hukum syara’, hak bermaksud sesuatu yang merupakan milik yang boleh dimiliki oleh suami atau isteri yang didapati dari hasil perkahwinan. Manakala kewajipan pula bermaksud perkara yang wajib dilakukan oleh salah seorang dari suami atau isteri untuk memenuhi hak dari pihak yang lain.

Hak-hak dan kewajipan suami isteri itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu nafkah (zahir dan batin) dan pergaulan dalam rumah tangga.

Nafkah bermaksud “belanja” atau “sara hidup”. Maksudnya, nafkah ialah sesuatu yang diperlukan oleh setiap orang untuk hidup sebagai keperluan asasi.

Bagi seorang suami, nafkah yang wajib diberi kepada isterinya ialah tiga perkara.
1.Tempat tinggal.
Allah berfirman yang bermaksud:
Tempatkanlah isteri-isteri kamu di tempat kediaman kamu, sesuai dengan kemampuan kamu. (Surah al-Talaq: ayat 7)
2.Makanan
3.Pakaian

Ketiga-tiga kewajipan ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW. pada Haji Wada’ (haji selamat tinggal). Baginda bersabda yang bermaksud:
Kewajipan suami terhadap isterinya memberi makanan dan pakaian menurut yang patut.

Antara sebab-sebab seorang suami patut memberi nafkah kepada isterinya adalah kerana:
1)akad nikah yang menjadi tali pengikat kepada isteri
2)isteri berada dibawah kekuasaan suami
3)suami berhak untuk menikmati diri isterinya
4)isteri wajib taat kepada suaminya
5)isteri tinggal dalam rumah menjaga rumah tangga dan anak-anak. Kewajipan ini adalah berdasarkan kaedah ‘ammah:
Setiap orang yang terhalang dirinya kerana hak dan manfaatnya untuk orang lain, maka nafkahnya wajib atas orang yang menghalang kerananya.

Antara syarat-syarat isteri berhak mendapat nafkah daripada suaminya adalah:
1)akad nikah yang sah
2)isteri telah menyerahkan dirinya kepada suaminya
3)isteri telah membenarkan dan mengizinkan kepada suaminya untuk menikmati dirinya.
4)Isteri sedia berpindah ke mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh suaminya, kecuali tempat tersebut berbahaya kepada diri, harta dan maruahnya atau tempat-tempat yang jahat dan tempat maksiat.
5)Kedua suami isteri masih mampu melaksanakan kewajipan sebagai suami isteri (istimta’) iaitu hubungan intim.

Terdapat juga golongan-golongan isteri yang tidak berhak menerima nafkah daripada suami. Antaranya ialah:
1)Isteri yang masih kecil yang belum dicampuri, sekalipun ia sudah menyerahkan dirinya untuk dicampuri. (Ini berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. sewaktu berkahwin dengan Aisyah RA. , baginda tidak memberi nafkah kepada Aisyah selama dua tahun, kerana belum mencampurinya).
2)Isteri yang telah berpindah dari rumah suaminya ke rumah lain tanpa izin atau tanpa sebab-sebab syar’i.
3)Isteri bekerja atau membuka perniagaan, sedangkan suaminya melarangnya bekerja, dan isteri tersebut tidak menghiraukan larangan suaminya.
4)Isteri berpuasa sunat atau beriktikaf sunat walaupun suaminya tidak mengizinkannya.
5)Isteri dipenjara kerana melakukan jenayah atau tidak membayar hutangnya.
6)Isteri nusyuz (derhaka) atau melakukan maksiat terhadap suaminya, atau tidak mahu melayan suaminya.

KADAR NAFKAH

Tidak terdapat satu nas pun daripada ayat al-Quran atau hadith yang menentukan kadar nafkah yang perlu diberikan oleh seorang suami kepada isteri. Al-Quran dan hadith hanya menerangkan secara umum mengenai pembahagian nafkah, seperti orang yang kaya wajib memberi nafkah kepada isterinya sesuai dengan kekayaannya, dan orang yang pertengahan dan orang yang miskin wajib pula memberi nafkah isterinya sesuai dengan kemampuannya. Firman Allah Taala yang bermaksud:
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan orang yang sempit rezekinya, hendaklah memberi nafkah dengan harta yang diberikan Allah kepadanya.

TANGGUNGJAWAB SUAMI ISTERI

Menurut pandangan Islam, tanggungjawab suami isteri boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
1)Tanggungjawab isteri terhadap suami
2)Tanggungjawab suami terhadap isteri
3)Tanggungjawab bersama di antara suami dan isteri

Tanggungjawab seorang isteri terhadap suaminya adalah sangat berat dan banyak, kerana tanggungjawab seorang isteri tidak habis spanjang masa dan hari seperti pergi ke pejabat. Tetapi tanggungjawab seorang isteri bermula dari bangun di pagi hari sampai waktu tidur pun tanggungjawab tersebut tidak berhenti. Ini berdasarkan daripada hadith Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani yang bermaksud:
Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suami), bahawa isteri tidak boleh meninggal hamparan(tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat kepada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya, kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya. (Riwayat Al-Tabrani)

Apabila seorang suami memanggil isterinya kerana ada sesuatu hajat, isterinya hendaklah datang kepada suami dan tidak boleh mengingkarinya. Hal ini adalah kerana berdasarkan daripada hadith Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Apabila seorang suami memanggil isterinya kerana ada sesuatu hajat hendaklah ia datang kepada suaminya, sekalipun isteri itu berada di dapur memasak roti. (Riwayat Al-Tarmizi wal-Insani)

Bagi seorang isteri yang tidak melayani hajat suaminya, dan tidak memperdulikan panggilannya adalah dianggap sebagai isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab dan juga isteri itu dilaknat oleh Malaikat sehingga waktu pagi. Sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA. yang bermaksud:
Apabila seorang suami mengajak isterinya ke hamparannya (tempat tidur), isterinya tidak mahu datang. Dan malam itu hati suaminya berasa marah kepada isterinya, maka Malaikat akan melaknat isteri itu hingga waktu pagi.

Terdapat juga persolan mengapa Allah memberi tanggungjawab yang yang begitu berat terhadap isteri kepada suaminya? Sebenarnya, Allah memberikan isteri tanggungjawab yang berat terhadap suaminya adalah kerana suaminya itu menjadi pengawal kepada isterinya, dan suami itu juga bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan hidup isterinya. Firman Allah SWT. di dalam surah an-Nisa’ ayat 43 yang bermaksud:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki dengan beberapa keistimewaan atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki memberi nafkah sebahagian dari harta mereka. (Surah an-Nisa’ : Ayat 43)

Islam menyuruh isteri taat dan patuh kepada suaminya. Sekiranya Allah Taala menyuruhmanusia sujud kepada manusia, maka Allah akan menyuruh para isteri sujud kepada suaminya. Hal ini jelas disebutkan dalam suatu hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Aufa RA. ketika Mua’z bin Jamal balik dari negeri Syam, beliau terus sujud kepada Rasulullah SAW. , dan baginda bertanya: “Kenapa engkau berbuat demikian?” Mua’z menjawab: “Ya Rasulullah. Aku baru balik dari negeri Syam. Aku lihat rakyat di sana sujud pada pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua mereka. Aku pun hendak berbuat begitu kepada. Lalu Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
Jika aku suruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain, sudah pasti aku akn suruh isteri sujud kepada suaminya disebabkan besar tanggungjawabnya.

Setiap isteri yang taat dan patuh kepada suaminya adalah dikira sebagai suatu amal kebajikan dan akan dibalas dengan syurga. Sabda Rasulullah SAW. yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. yang bermaksud:
Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan mematuhi suruhan atau larangan suaminya akan dimasukkan ke dalam syurga.

Manakala, seorang isteri tidak wajib patuh dan taat kepada perintah suaminya yang mengarah kepada kejahatan dan maksiat. Haram bagi seorang isteri taat dan patuh kepada perintah tersebut. Sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Ali RA. yang bermaksud:
Tidak boleh taat kepada seseorang pada perkara-perkara maksiat kepada Allah, sesungguhnya taat itu adalah kepada perkara-perkara kebaikan sahaja.

Tanggungjawab suami terhadap isterinya juga sangat banyak dan berat, kerana suami telah menerima amanah Allah menjaga keselamatan isterinya, memberi makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya dan seluruh keperluan hidupnya sehari-hari, zahir dan batin. Hadith Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
Bersabda Rasulullah SAW. : Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah bila engkau makan, hendaklah engkau beri makanan untuk isteri engkau. Bila engkau memakai pakaian, engkau berilah pakaian untuk isteri engkau. Engkau jangan pukul isteri engkau di bahagian mukanya. Engkau jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang jahat, iaitu perkataan yang menyakitkan hati yang dibenci di hadapannya. Engkau jangan tinggalkan isteri engkau seorang diri kecuali di dalam rumah. (Riwayat Abu Daud)

Menurut pandangan Islam, sikap suami yang tidak bertanggungjawab dan khianat terhadap isterinya ialah suami yang bersikap kasar dan terhadap isterinya seperti selalu memukul isterinya, tidak mempedulikan rumahtangga, tidak menyempurnakan makan minum isterinya dan selalu membawa perempuan-perempuan lain. Rasulullah SAW bersabda ketika mengerjakan Haji Wada’ (haji selamat tinggal) yang bermaksud:
Ingatlah, hendaklah kamu terima pesanan mengenai orang-orang perempuan. Bergaullah kamu dengan mereka secara baik, dan berlemah lembut. Sesungguhnya orang-orang perempuan itu adalah merupakan tawanan kamu. Kamu tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap mereka kecuali mereka berterus-terang melakukan kejahatsn (menderhaka). Jika mereka itu melakukan perkara tersebut, maka tinggalkan mereka di tempat tidurnya seorang diri. Dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang tidak memberi bahaya. Tetapi jika mereka itu berlaku taat kepada kamu, janganlah kamu melakukan apa-apa tindakan terhadap mereka. Ingat sesungguhnya kamu terhadap isteri-isteri kamu adalah mempunyai hak yang tertentu. Dan isteri kamu pula terhadap kamu mempunyai hak yang tertentu juga. Maka hak kamu terhadap mereka itu, bahawa isteri kamu tidak menghamparkan tilam kamu kepada orang yang kamu benci. Dan tidak membenarkan orang yang benci masuk ke dalam rumah kamu. Ingat, hak isteri ke atas kamu ialah bahawa kamu berbuat baik terhadap mereka itu mengenai pakaian, dan makan minum mereka dengan cukup dan sempurna.

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Siti Nazihah Binti Sarpin