Selasa, 28 September 2010

Golongan Yang Memasuki Neraka

PENGENALAN

Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman kepada-Nya balasan syurga dan orang yang mengingkari-Nya akan diberikan balasan neraka. Allah telah pun menurunkan segala amanat yang patut dipikul bagi seorang mukmin untuk menjalani kehidupan yang lurus. Sebagai seorang umat Islam, kita hendaklah berselawat ke atas Nabi Muhammad, orang yang diutus oleh Allah kepada seluruh umat manusia membawa khabar yang menggembirakan dan membawa khabar yang menakutkan.

Di dalam Al-Quran surah An-Nazi’at ayat 37 – 41, ada menerangkan: “Maka adapun yang congkak, dan selalu mementingkan kehidupan di dalam dunia. Maka sesungguhnya neraka jahim adalah tempatnya. Dan adapun orang yang takut dengan kebesaran Tuhannya, dan dapat ia mempertahankan hawa nafsu dia yang jahat, maka sesunguhnya Syurga adalah tempatnya. ”

Jika kita telah mengingkari perintah Allah, kita hendaklah segera bertaubat kepada-Nya supaya dijauhkan daripada api neraka.

Syurga merupakan satu pengakhiran yang sangat indah dan amat mewah. Semua penghuninya berada dalam keadaan bahagia, tidak ada kepayahan sekalipun. Tidak perlu tidur, tidak ada kekotoran. Di sana terdapat benda-benda yang pernah dilihat dan didengari oleh manusia. Syurga bukanlah suatu tempat yang boleh digambarkan dalam hati.

MEREKA YANG MEMASUKI API NERAKA

1.Golongan yang tidak ikhlas

Dalam hadis Muslim, riwayat Tarmizi: Sabda Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya yang pertama manusia dipanggil hari qiamat adalah yang mati di medan perang ingin mati syahid, dihadapkan di pengadilan, Allah tampakkan kepadanya segala nikmatNya, maka dia akui segala nikmat yang Allah kurniakan terhadapnya. Apakah engkau yang laksanakan terhadap itu? Jawabnya aku gunakan di medan perang untuk membela agamaMu sampai aku mati syahid. Tuhan memberitahu kepadanya, engkau bohong, engkau berjuang hanya untuk menampakkan ketangkasan supaya dikenal. Dengan terbuka latar belakangnya dia berjuang, lalu disuruh diseret mukanya menuju neraka terus dilontarkan kepadanya.

Dalam hadis ini dapat disimpulkan bahawa manusia yang beramal bukan kerana Allah, maka pada hari kiamat nanti akan terbuka kesemua niatnya yang tidak ikhlas itu lalu dicampakkan ke dalam api neraka.

2.Golongan yang menzalimi manusia

Jika seseorang itu semasa hidupnya mencaci orang, mengumpat, mencela, menuduh orang berzina, mencuri, menumpahkan darah orang, memukul, maka segala kebaikannya akan diberikan kepada mereka yang terzalim itu. Apabila habis kesemua kebaikannya, maka kejahatan yang terzalim akan dipikul atas yang menzalimi. Kemudiannya dia akan dilontarkan ke dalam api neraka.

Itu merupakan balasan yang setimpal atas orang yang selalu dalam waktu hidupnya menzalimi manusia. Oleh itu, kita hendaklah menghindarkan diri daripada menzalimi manusia yang lain.

3.Golongan yang membunuh manusia

“Apabila berhadapan dua muslim dengan pedangnya masing-masing. Maka yang membunuh dan yang dibunuh kedua-duanya dimasukkan dalam api neraka. Orang yang membunuh memang bersalah, tetapi bagaimana pula yang dibunuh. Dijawab Nabi, yang dibunuh itu sebenarnya dia juga mahu membunuh temannya itu tadi. ”

Di dalam hadis ini jelas Nabi terangkan bahawa mereka yang bergaduh, kedua-duanya akan diazabkan ke api neraka. Jika seseorang itu terpaksa menggunakan senjata bagi membela dirinya atau keluarganya dari ancaman telah terbunuh, maka hukumnya adalah mati syahid. Dia akan syahid di syurga tetapi yang membunuhnya tetap di masukkan ke dalam neraka.

4.Wanita yang meminta talak

Rasulullah mengeluarkan hadis kepada kaum wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebarang sebab yang munasabah. Golongan ini akan dilontarkan ke dalam api neraka. Selama si suami masih sanggup memberikan satu liter beras dengan lauknya yang sederhana, dan selembar pakaian sewaktu sejuk, selembar sewaktu panas, serta kediaman yang sederhana walaupun rumah sewa, maka selama itulah si isteri tidak dibenarkan menuntut talak, kecuali jika suami mengidap penyakit impoten.

5.Orang yang memfitnah

Kebusukan fitnah akan menjatuhkan manusia ke dalam api neraka. Seperti menuduh orang pada bukan sebenarnya, sehingga yang dituduh merasa tersinggung dan malu, terkadang sampai dia terpenjara, akibat berita yang direka reka sengaja untuk mencemarkan nama seseorang, maka golongan ini akan di campakkan ke dalam api neraka kiamat nanti.

6.Golongan yang takbur

Mereka yang terlalu bangga terhadap diri sendiri boleh mengakibatkan syirik. Sifat terlalu sombong itu akan mencengkam jiwa mereka dan akan membuatkan mereka alpa tentang kewajipan mereka terhadap Allah. Maka golongan ini akan di campakkan kea pi neraka.

7.Orang yang bunuh diri

“Yang mencekik lehernya (menggantung dirinya) akan di gantungkan dalam api neraka, yang menikam dirinya. Akan diazab dengan menikam juga dalam api neraka. Yang membakar dirinya, juga akan dibakar dengan api neraka. ”

Dalam hadis ini telah dinyatakan dengan tegas bahawa sesiapa yang membunuh dirinya dengan apa cara sekalipun akan diseksa dalam api neraka. Orang Islam dilarang berputus asa, dan disuruh menghadapi cubaan hidup.

8.Mubaligh yang membuat munkar

Alangkah jahatnya orang yang hanya pandai menyuruh orang berbuat baik, sedangkan dia tidak berbuat demikian. Dia yang melarang orang untuk curang, tetapi dia yang melakukan curang. Pada hari kiamat nanti, dia akan diazab dahulu daripada orang jahil

9.Si jahil yang menafsirkan Al-Quran

Bagi mereka yang mentafsirkan Al-quran yang berpendapat demi kepentingan sendiri. Apabila meninggalkan sembahyang, dikatakan tidak perlu qada. Mereka memberikan alasan tidak perlu qada sembahyang, tetapi perlu qada puasa. Alangkah dangkalnya pemahaman mereka. Golongan ini juga akan dilontarkan ke dalam api neraka.

10.Orang yang menyinggung orang lain

Sesiapa yang menyakiti orang lain, dengan menggunakan lidahnya atau anggota badannya, maka dia akan mendapat balasan akhirat dalam api neraka.

11.Yang mencaci dan membela kesalahan

“Yang mengaduasah, dan menyumpah, dan membela yang salah, kesemuanya akan diazab dalam api neraka sifat-sifat ini tidak terhimpun di dalam dada orang mu’min”.

Sesiapa yang melontarkan perkataan yang boleh mengakibatkan kepada perpecahan, membela kesalahan oleh sebab sanak saudara, ia akan mendapat azab akhirat nanti.

12.Musuh dalam selimut

Bagi mereka yang bermuka dua, mereka akan diberikan dua lidah dari api neraka. Muka nya juga akan terbakar dan dilontarkan ke dalam api neraka.

13.Golongan yang memusuhi saudaranya sesama muslim

Seorang muslim dilarang memusuhi saudaranya. Perbantahan yang dilarang adalah kerana bukan kepentingan agama. Jika seseorang itu menasihati untuk tidak berjudi dan minum arak, tetapi tidak dituruti dan timbul pergaduhan, bagi yang menasihati tidak haram hukumnya. Tetapi kalau terjadi pergaduhan akibat daripada perkara remeh, haram hukumnya.

14.Golongan yang memutuskan silaturrahim

Golongan ini jelas akan dicampakkan ke dalam api neraka. Silaturrahim ini adalah khusus kepada hubungan kekeluargaan. Sesiapa yang bersalah tidak meminta maaf tidak mahu berbaik, ia seolah olah dia menumpuk api.

15.Golongan yang derhaka kepada ibu bapa

“Empat jenis orang yang ALLAH pastikan mereka itu tidak dimasukkan ke syurga dan tidak dirasakan kebahagiaan nikmat syurga. Peminum minuman keras. Yang makan harta riba. Yang makan harta anak yatim secara zalim dan tidak berbakti pada ibu bapanya. ”

Anak-anak tidak sepatutnya menderhaka kepada ibu bapanya yang telah membesarkannya dengan baik. Walaupun ibu bapa telah meninggal dunia, kita hendaklah mendoakan mereka setiap waktu, semoga roh mereka dicucuri rahmat.

16.Golongan yang ingin dimuliakan

“Barang siapa ingin supaya orang berdiri memuliakannya, maka bersedia sajalah mengambil kedudukannya dalam api neraka. ”

Adalah satu ancaman bagi orang yang ingin minta dimuliakan atau minta dihormati orang. Kalau dia masuk ke suatu tempat, orang yang tidak berdiri terhadapnya, maka lalu timbul marah. Kemungkinan yang membawa dia semacam itu, adalah kerana sifat takbur dalam hatinya. Dengan sifat takbur dalam diri, sudah pastinya diri nya akan tercampak ke dalam api neraka

17.Wanita-wanita yang berpakaian tidak senonoh

Wanita-wanita yang sebahagian badannya terbuka atau tertutup, tetapi kainnya tipis sehingga kelihatan kulitnya, maka wanita-wanita ini akan diseksa dalam api neraka. Agama Islam telah menyuruh mereka supaya bertutup rapi. Ini adalah kerana, cara pemakaian bagi wanita satu penghormatan kepada mereka.

18.Golongan yang melakukan zina

“Hindarilah kamu perbuatan zina. Sesungguhnya penzinahan itu ada empat bahaya. Pertama, menghilangkan cahaya muka, orang melihat dia tidak memberikan penghormatan lagi. Kedua, memutuskan rezeki. Ketiga, menyebabkan marahnya Allah yang bersifat Rahman. Keempat, menyebabkan kekalnya berada dalam api neraka. ”

19.Golongan yang memakan harta haram

Orang yang makan dan minum yang diharamkan adalah satu ancaman, kerana apa yang dimakan itu akan menjadi darah daging. Perkara yang haram dimakan ada dua jenis. Satu adalah makanan yang diusahakan secara haram seperti mencuri. Lagi satu adalah makanan yang diharamkan seperti babi, anjing, tikus dan binatang yang tidak disembelih.

20.Golongan yang minum minuman keras

“Tiap-tiap minuman keras yang memabukkan adalah haram dan sesungguhnya Allah menetapkan janji kepada peminum yang memabukkan, akan diberi minuman yang bernama (thinatul khabal) Apakah itu wahai Rasulullah? Jawabnya ialah keringat-keringat orang penghuni api neraka, atau kotoran yang keluar waktu mereka diperas. ”

21.Orang yang tidak berzakat

Bagi mereka yang tidak berzakat, akan dijadikan emas dan kepingan perak yang lebar dari api neraka, lalu digosokkan ke pinggangnya, ke dahinya dan ke belakangnya. Apabila kepingan itu sejuk, akan dipanaskan semula dengan api neraka. Itulah yang akan terjadi selama lima puluh ribu tahun. Dia akan dibebaskan ke syurga atau dikekalkan di dalam api neraka selama-lamanya.

22.Golongan yang menjadi saksi palsu

Akibat perbuatan saksi palsu, keadilan akan hilang dan punah. Yang bersalah akan menang ketika persidangan. Yang benar pula akan dizalimi. Saksi palsu dengan tidak malunya bersumpah menggunakan nama Allah. Azab bagi orang yang jadi pembela di pihak penzalim akan dijanjikan api neraka.

23.Golongan yang memakan harta anak yatim

“Dibangkitkan pada hari kiamat satu golongan dari kubur mereka, berkobar-kobar api pada mulut mereka. Ditanya, Wahai Rasulullah siapakah mereka itu? Jawabnya apakah tidak tahu engkau bahawasanya ALLAH berfirman. Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta-harta anak yatim secara zalim, sesungguhnya yang mereka makan ke perut adalah api, dan mereka akan masuk ke neraka Sa’ir. ”

24.Lelaki yang memakai emas

Emas haram ke atas lelaki yang memakainya. Apa saja berupa pakaian dari emas, kalung, utas haram bagi lelaki memakainya. Mana-mana lelaki yang memakainya bererti dia sudah pun memakai api, dan pada hari akhirat, dia akan mendapat azab yang lebih berat. Tidak ada satu hadis yang membolehkannya, kecuali menggantikan gigi dan hidung.

25.Golongan yang takbur

Golongan yang takbur merupakan golongan yang sangat berani akan dirinya, yang tidak takut akan kebesaran ALLAH. Golongan ini akan melupai masa depannya di akhirat kelak. Maka dengan ini mereka akan dikenakan azab api neraka.

26.Orang yang mengamalkan rasuah

Apabila rasuah berlaku, keadilan tidak dapat dicapai. Harta akan hilang begitu sahaja mengikut kepentingan orang lain. Allah telah menentukan nasib orang yang menerima dan memberi rasuah di dalam api neraka.

27.Hakim yang tidak adil

“Qadhi (hakim) adalah terbagi kepada tiga. Satu ke syurga. Dua akan ke api neraka. Adapun yang akan ke dalam syurga. Ialah lelaki yang mengetahui kebenaran, tetapi berlaku zalim dalam tindakannya. Dan yang selanjutnya, ialah lelaki yang melakukan hukuman pada manusia, diatas dasar kejahilan, maka diapun akan dimasukkan ke api neraka.

Sesiapa yang melakukan hukuman yang tidak adil terhadap orang yang tidak bersalah, maka orang tersebut akan dilontarkan ke api neraka.

28.Golongan yang mengemis walaupun kaya

Agama Islam melarang orang mengemis, kecuali semasa keadaan yang sempit, seperti harta yang habis terbakar dalam kebakaran, tidak dapat bekerja kerana lumpuh dan sebagainya. Tetapi jika seseorang itu masih mampu untuk mencari rezeki, maka haram baginya untuk mengemis. Oleh itu, golongan ini akan dikenakan azab api neraka.

29.Golongan yang belajar bukan kerana Allah

“Barang siapa yang menuntut ilmu dengan niat untuk menandingi ulama, dan mau bertengkar dengan orang jahil. Dan supaya orang yang mengarahkan muka mereka kepada dia. Nescaya Allah masukkan dia ke dalam api neraka. ”

Seseorang itu hendaklah belajar kerana Allah dan bukan kerana kepentingan sendiri atau ingin memegahkan dirinya, atau untuk mendapat kedudukan semata-mata, maka perkara yang dipelajarinya itu adalah haram sama sekali. Golongan ini akan diberikan azab api neraka akhirat kelak.

30.Yang mengukir benda sepertinya yang hidup

Para ulama telah bersepakat dan berpendapat bahawa orang-orang yang mengukir meniru seperti yang ada roh, mengukir manusia diancam api neraka. Ini adalah kerana mereka cuba untuk menandingi perbuatan Allah. Gambar-gambar lukisan dan foto dikecualikan. Oleh itu, ukirlah benda-benda yang tiada roh di dalamnya seperti pokok-pokok dan bunga-bunga.

KESIMPULAN

Marilah kita menjauhi perbuatan dan perkara yang boleh menjahanamkan kita ke api neraka yang sungguh dashyat. Bagi mereka yang telah pun melanggar perintah Allah, hendaklah disegerakan bertaubat kerana Allah Maha Pengampun. Setiap perbuatan yang dilakukan merupakan cermin bagi muslim yang lain terhadap orang bukan Islam. Ya Allah! Hindarkanlah kami dari azab api neraka jahanam dan masukkanlah kami ke dalam syurga dengan tidak diperiksa apa-apa bebas dari menjadi tanggungjawab apa sekali pun.

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Puteri Nabila Hamzah