Isnin, 27 September 2010

Konsep Persaudaraan Dalam Islam

PENGERTIAN

Konsep persaudaraan bolrh ditakrifkan berdasarkan kepada dua bahagian.

1)Dari segi bahasa.
Perkataan persaudaraan adalah terjemahan daripada perkataan Arab iaitu Ukhuwah yang berasal dari akar kata Akhun yang membawa erti sebagai sahabat, teman, saudara dan sebagainya.

2)Dari segi istilah.
Boleh dilihat dari beberapa sudut:
Dari kacamat al-Quran, persaudaraaan diertikan sebagai perasaan kasih sayang, tolong-menolong, bantu membantu, bertolak-ansur, bermesra dan cinta-mencintai diantara sesama umat Islam tanpa berkecuali.

Dari kacamata al-Hadith Rasulullah SAW pula, persaudaraan diertikan lebih kurang sama sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Di mana Rasulullah SAW menghuraikan konsep persaudaraan itu sebenarnya merupakan tubuh badan, darah daging dan roh umat Islam sendiri pada keseluruhannya. Sehingga baginda mentamthil ibaratkan perasaan persaudaraaan sesama umat Islam sebagai satu tubuh badan apabila satu anggota tubuh badan itu mengalami kecederaan atau terkena sakit, penderitannnya dirasa dan ditanggung bersama oleh seluruh anggota badan. Sehingga seluruh anggota turut sama berjaga malam untuk sama-sama merasai kesakitan yang dialami oleh salah satu daripada anggota yang sakit itu tadi.

Dari kacamata ulamak Islam pula, terdapat dua kumpulan pendapat yang terbesar:Golongan yang mengatakan bahawa konsep persaudaraan ialah dalam bentuk umum. Iaitu persaudaraan tanpa mengira aqidah, bangsa, keturunan, warna, kulit dan sebagainya. Malah asal dinamakan manusia maka perasaan persaudaraan itu wajib dijalin. Golongan kedua menekankan tentang ketunggalan asal usul manusia yang berasal daripada daripada Adam AS itu bersaudara dan menjadi tanggungjawab mereka untuk mengeratkan persaudaraan dan kemakmuran manusia sejagat.
PENGERTIAN PERSAUDARAAN MENURUT AL-GHAZALI.

Pertama :
Persaudaraan itu dijalin atas dorongan untuk mendapatkan keseronokan. Hal ini berlaku apabila seseorong itu merasa gembira melihat orang lain samada dari segi paras rupa, tingkah laku dan sebagainya. Ini bererti seseorang itu menjadi sebab mengapa persaudaraan itu terjadi.

Kedua :
Persaudaraan itu terjadi yang berpunca daripada tujuan seseeorang untuk kepentingan dirinya sendiri. Misalnya dengan persaudaraan itu kelak ia mendapat pertolongan di dalam bentuk kebendaan, kewangan dan sebagainya. Ini bererti persaudaraan itu diraih semata-mata untuk itu. tujuan kebendaan dan tidak lebih dari.

Ketiga :
Adalah persaudaraan yang sengaja diusahakan, tetapi bukan dengan tujuan untuk kesoronokan memandang seseorang atau untuk kepentingan kebendaan tetapi semata-mata untuk mendapatkankebahagiaan di akhirat.

Keempat :
Persaudaraan yang diikat erat di atas cetusan daripada kesedaraan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Dalam ertikata bahawa persaudaraan yang dijalin kerana semata-mata patuh, taat, menyembah dan menyerah diri kepada Allah SWT.

Kesimpulan :
Di mana sebarang daya usaha untuk berkasih sayang, cinta-mencintai, bermesra, hormat-menghormati, bekerjasama, tolong-menolong dan sebagainya sesama umat Islam semata-mata kerana beribadat kepada Allah SWT adalah merupakan ikatan persaudaraan yang sempurna dalam ertikata yang sebenarnya.

SAHABAT YANG IDEAL MENURUT AL-GHAZALI.

•Kebijaksanaan
•Akhlak yang mulia
•Tidak fasik
•Tidak melakukan bidaah
•Pemurah.

HIKMAT PERSAUDARAAN.

Apabila memperkatakan tentang hikmat, kelebihan atua faedah daripada persaudaraan, ia boleh dihuraikan melalui al-Quran dan al-Hadith.

Al-Quran.

Al-Quran secara khusus telah menyenaraikan beberapa hikmat persaudaraan yang di antaranya ialah :

Al-Quran menjelaskan bahawa pengukuhan perasaan persaudaraan di di kalangan umat Islam dan berbaik-baik dengan yang bukan Islam adalah semata-mata untuk mengwujudkan perpaduan sejagat. Apabila terburainya ikatan itu tadi, bumi Allah SWT ini akan dibasahi oleh darah manusia. Punca utama pertumpahan darah itu adalah disebabkan hilangnya ikatan perasaan persaudaraan sesame manusia. Jesteru kerana itu, persaudaraan dan perpaduan menurut Al-Quran adalah merupakan jembatan emas yang menuju ke arah pencapaian keamanan, dan kesejahteraan yang dimimpikan oleh setiap manusia dan penghalangan perpecahan. Selain daripada itu, walaupun perpaduan diwajibkan oleh Allah SWT, mereka yang bersatu-padu berasas kepada iman dan taqwa iaitu berasaskan persaudaraan Islam adalah merupakan golongan yang paling dimuliakan oleh Allah SWT.

Al-Quran juga selanjutnya menjelaskan bahawa persaudaraan adalah merupakan nikmat yang tidak terhingga besar ertinya kepada manusia. Hal ini adalah bertitik-tolak daripada kenyataan bahawa melalui persaudaraan ini maka manusia dapat melaksanakan apa sahaja yang mereka kehendaki kea rah penyempurnaan keperluan hidup mereka. Persaudaraan melahirkan semangat untuk bekerjasam, bergotong-royong dan saling bantu-membantu sesama umat Islam untuk melakukan segala kebajikan yang dapat menyempurnakan keperluan hidup mereka bersama.

Selanjutnya persaudaraan jugalah yang telah menjadi nikmat yang cukup besar apabila sesuatu penderitaan atau halangan yang dialami oleh salah seorang daripada umat Islam akan ditanggung bersama oleh umat Islam sehingga kesakitan atau penderitaan itu seolah-olah tidak berlaku kerana menjadi ringan apabila kesusahan itu dipikul bersama.



Al-Quran juga menyarankan bahawa nikmat persaudaraan yang berlunaskan kepada saranan Allah SWT sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran adalah merupakansalah satu asas kejayaan seseorang muslim di atas muka bumi ini dan di akhirat. Persaudaraan yang diperundangkan oleh Allah SWT itu berpunca daripada keimanan dan ketaqwaan. Sedangkan kedua0dua unsur itu merupakan tali pengikat yang cukup kuat bagi menjamin keberkekalan persaudaraan.

Melalui persaudaraanlah seseorang itu memperolehi kekuatan dan kekuasaan, hal ini amat benar sekali. Di mana sesuatu golongan yang bersatu-padu itu adalah merupakan golongan yang kuat dan gagah yang disegani rakan dan lawan. Inilah di antara faedah atau kelebihan persaudaraan. Tamadun yang dicapai oleh sesuatu bangsa itu adalah disebabkan ketinggian prestasi perpaduan, persefahaman dan persaudaraan di kalangan setiap ahli bangsa itu sendiri dari golongan pemerintah hinggalah golongan rakyat jelata.

Prestasi keimanan dan ketaqwaan orang-orang Islam itu dapat diukur dengan kadar tingginya prestasi persaudaraan di kalangan merela sendiri. Inilah kayu pengukur atau dacing penimbang yang dikemukakan oleh al-Quran. Dalam ertikata yang lain semakin tinggi dan kukuhnya ikatan persaudaraan di kalangan umat Islam, maka semakin tinggi dan kukuh iman dan taqwa umat Islam. Sebaliknya, perpecahan, persengketaan dan pertumpahan darah yang berlaku di kalangan umat Islam adalah lambang atau petanda kelemahan dan kelenturun iman dan taqwa mereka. Hanya orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa sahaja yang dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab yang diperundangkan oleh Islam.

Al-Hadith.

Rasulullah SAW menyarankan bahawa persaudaraan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW mempunyai kesan dari segi psikologi atau kerohanian yang cukup besar. Ini disebabkan persaudaraan dan perpaduan itu tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah wujudnya perasaan, semangat dan keinginan yang cukup tinggi. Jesteru kerana itu Rasulullah SAW beranggapan persaudaraan itu memerlukan kepada semangat dan cita-cita untuk bersatu-padu dan bekerjasama.

Persaudaraan bertitik-tolak daripada lubuk hati atau jiwa inilah apabila diadunkan dengan iman dan taqwa menjadi satu daya tenaga yang cukup kuat di kalangan umat Islam. Hikmat yang terbesar yang diperolehi daripada persaudaraan ialah kepuasaan dan kebahagiaan jiwa dan hati yang tidak terhingga. Perkara ini amat ketara apabila golongan yang bersatu-padu itu menjadi kuat dan gagah yang disegani dan ditakuti oleh musuh. Jesteru kerana itu ia menanamkan semangat percaya kepada diri sendiri, kemegahan dan kepuasaan hati.

Selanjutnya, persaudaraan menyuburkan perasaan kekuatan rohani yang berakhir dengan terjelmanya kekuatan jasmani. Dengan ini, segala sesuatu yang berbentuk kejiwaan atau kebendaan dapat diselesaikan dengan adanya daya kekuatan persaudaraan. jesteru kerana itulah persaudaraan itu digalakkan oleh Rasulullah SAW diperkukuhkan. Kemesraan umat Islam sentiasa dipertingkatkan dan semangat kasih sayang itu sentiasa dipupuk agar dapat meningkatkan lagi prestasi ikatan persaudaraan.

Hiikmat persaudaraan yang berasaskan kepada Hadith Rasulullah SAW selanjutnya dijelaskan oleh baginda sebagai satu cara bagaimana seseorang itu mendapat perlindungan daripada Allah SWT di hari akhirat kelak. Di man di Padang Mahsyar kelak tiada siapa yang dapat memberi perlindungan daripada azab sengsara melainkan Allah SWT juga yang berkuasa lagi maha memberi pengampunan. Dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa orang yang mengeratkan hubungan persaudaraan adalah di antara mereka yang akan diberikan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar.

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW selanjutnya bahawa orang yang mengasihi umat Islam yang lain kerana beribadat kepada Allah SWT adalah terdiri daripada golongan yang paling dikasihi oleh Allah SWT Sedangkan keredhaan Allah SWT sentiasa dicari-cari dan menjadi cita-cita oleh setiap umat Islam. Kini telah jelas terbukti salah satu cara yang paling baik untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dan menjadi orang yang dikasihi olehnya dengan mengasihi dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara sesama umat Islam.

Ganjaran yang begitu besar ertinya daripada Allah SWT kepada manusia ini sebenarnya mempunyai hikmat disebaliknya yang semata-mata untuk kepentingan dan kesempurnaan hidup manusia sendiri. Di mana implikasi daripada eratnya hubungan silaturrahim akan mencetuskan perpaduan yang membawa kepada keamanan, kesejahteraan dan perpaduan yang semata-mata merupakan faedah kepada umat manusia. Tentang ganjaran kasih sayang Allah SWT terhadap umat Islam yang mengasihi umat Islam yang lain dirakamkan oleh Rasulullah SAW di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

PRINSIP – PRINSIP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM.

PERDAMAIAN.

Al-Quran secara khusus menghuraikan tentang prinsip pertama ini iaitu perdamaian atau hubungan yang baik. Di mana perdamaian atau berbuat baik antara satu sama lain di kalangan umat Islam itu mestilah berdasarkan kepada ketentuan yang dianugerahkan oleh Allah SWT iaitu segala akhlak yang terpuji sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran. Hanya dengan iman dan taqwa hubungan yang baik itu benar-benar memenuhi syarat dan keperluannya di dalam ertikata yang sebenar. Kepentingan kedua-dua unsur itu tadi di dalam mengwujudkan perdamaian dan pengekalan prestasi persaudaraan tidak dapat dinafikan.

Di antara cara pengekalan prestasi perdamaian di dalam mengeratkan persaudaraan Islam ialah dengan setiap umat Islam mestilah sentiasa berniat, bercita-cita dan menjelmakan dalam bentuk tingkah laku dalam menggalakkan berkembang luasnya amal kebajikan. Dalam masa yang sama sentiasa melarang daripada melakukan kemungkaran. Kebenaran kenyataan ini terlalu menonjol sekali. Kerana jika seluruh individu umat Islam melakukan kebajikan dan tidak ada yang melakukan kemungkaran tentu kebaikan dan perdamaian sahaja yang wujud, sedangkan kehuru-haraan serta keburukan tidak timbul sama sekali.

Al-Quran selanjutnya menegaskan bahawa perdamaian sejagat di kalangan umat Islam itu akan dapat dicapai dan dinikmati bersama serta dikekalkan buat selama-lamanya jika setiap individu muslim berpegang teguh kepada agama Allah SWT Islam itu sendiri membawa erti perdamaian. Sekaligus Islam adalah merupakan parti tunggal yang dapat mengeratkan ikatan persaudaraan dan perdamaian dalam ertikata yang sebenarnya di kalangan manusia.

ASAS PERSAUDARAAN ISLAM.

1)Akhlak yang mulia.

Tidak dapat dinafikan lagi tentang betapa pentingnya akhlak dijadikan sebagai asas persaudaraan Islam. Akhlak boleh ditakrifkan di dalam ungkapan yang paling singkat sepertimana yang dikemukakan oleh Al-Ghazali sebagai segala laku perbuatan yang mulia yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Hadith.

Akhlak Umum :
Apabila memperkatakan akhlak yang umum, Al-Quran telah mempersembahkannya di dalam beberapa bentuk yang disenaraikan di bawah ini. :

a. Bercakap benar, tidak dusta adalah salah satu daripada sifat akhlak umum Islam yang disarankan oleh Al-Quran. Betapa pentingnya bercakap benar setiap masa dan tempat di dalam mengeratkan ikatan persaudaraan tiada siapa yang meraguinya. Kerana ia merupakan perkara yang dapat menimbulkan perasaan percaya mempercayai dan kasih sayang. Sedangkan dusta adalah merupakan pengkhianatan yang menghancur-luluhkan kasih dan menimbulkan kebencian.

b. Menjauhkan diri daripada melakukan segala yang mungkar dan keji adalah ciri akhlak umum Islam yang selanjutnya. Tidak dapat dinafikan terhapusnya amalan keji ini dapat mengeratkan ikatan persaudaraan. Kerana ia sentiasa menggalakkan berkembang perasaan kasih sayang, kebajikan, persefahaman dan menyuburkan perasaan saling hormat-menghormati.

c. Akhlak umum yang disarankan oleh Al-Quran selanjutnya ialah menggalakkan meluasnya perkara kebajikan dan berusaha menghapuskan kemungkaran. Tentang peranan kedua-dua unsur akhlak ini tadi di dalam pemupukan kasih sayang dan persaudaraan umat menonjol sekali. Kerana tiada manusia yang tidak suka kepada kebajikan. Setiap kali kebaikan yang diterimanya pasti ia merasagembira dan senang hati. Kebajikan yang berkekalan bertanggungjawab mencetuskan keamanan, kemakmuran, kesejahteraan, persaudaraan da perpaduan di kalangan umat Islam. Sedangkan ke semua unsure ini tidak saling bantu-membantu menuju ke arah kemesraan dan kasih sayang.

d. Perlaksanaan ibadat samada ibadat khusus atau ibadat umum. Manusia yang menyedari hakikat matlamat penciptaan dirinya iaitu untuk patuh menyembah dan menyerah diri kepada Allah SWT pasti akan terus sujud dan mengikut perintah-Nya dan meninggalkan segal larangan-Nya.

Akhlak Khusus :

a. Menekankan pentingnya penunaian janji. Kenyataan ini amatlah penting dan tepat sekali, di mana penunaian janji dapat mencetuskan perasaan kasih sayang dan terhutang budi. Perasaan inilah yang memainkan peranan yang agak penting di dalam menyemai, menyubur dan menghasilkan ikatan persaudaraan yang unggul.

b. Sifat tolong-menolong, bantu-membantu, bekerjasama dan sempurna menyempurnakan. Akhlak ini amatlah mustahak di dalam pengukuhan ikatan persaudaraan kerana tiada manusia yang dapat menyempurnakan keperluan hidup secara sendirian. Jester itu dengan wujud perasaan saling bantu-membantu dapat menyuburkan perasaan persaudaraan.

c. Akhlak khusus selanjutnya dijelaskan oleh Allah SWT sebagai merendah diri. Tawaduq dan hidup dalam keadaan sederhana (zuhud). Sebaliknya Allah SWT melarang daripada sifat bongkak, sombong, takbur, riak dan lain-lain. Sifat merendah diri tentu dapat menjadi tenaga yang kuat untuk mengeratkan perpaduan apabila orang yang merendahkan diri itu disukai dan tidak menimbulkan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain.

2)Ikhlas.

Dari segi bahasa, perkataan ikhlas dalam bahasa Arab bererti kebersihan, kejernihan, kesucian dan kemurnian. Oleh itu laku perbuatan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan niat di hati ialah laku perbuatan yang bersih, jernih, suci dan murni.
Ikhlas dari segi istilah ialah pembersihan dan penyucian niat dari sebarang kekotoran dan penyakit yang menodai keikhlasan untuk taqarrub atau menghampirkan diri kepada Alla SWT semata-mata, dalam segala laku perbuat yang telah sedang dan akan dilaksakan.

3)Amanah.

Amanah dalan ertikata memelihara sesuatu yang diberikan kepercayaan kepada yang berhak menerimanya. Di dalam hubungan persaudaraan, segala sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam yang diwajibkan pengagihannya kepada suadaranya adalah amanah yang mesti dipelihara dan disempurnakan.

4)Belas Kasihan.

Sifat ini dianggap cukup penting kerana tanpa sifat ini, masyarakat manusia menjadi masyrakat binatang yang suka melakukan kekejaman dan penindasan apabila ia berkuasa melakukannya. Allah SWT sememangnya mewajibkan agar umat Islam menghayati dan mengamalkan segala sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT sepertimana yang terkandung dalam Asma ul-Husna. Digalakkan umat Islam menjiwai sebanyak dan sedalam yang mungkin. Kerana sifat belas kasihan sentiasa menuju ke arah peningkatan iman, taqwa dan amal soleh yang sekali gus berfungsi sebagai tali pengikat ikatan persaudaraan. Dijelaskan oleh Allah SWT sesiapa sahaja yang mempunyai sifat pengasih dan penyayang serta menaruh belas kasihan kepada makhluknya, diampuni oleh Allah SWT Mereka juga dipelihara oleh Allah SWT daripada azab api neraka.


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Lyana Balqis Bt Shirmi.