Selasa, 28 September 2010

Mengerjakan Haji dan Umrah

Pengertian umrah
Untuk meringkaskan maksudnya, umrah ialah qasad mengunjungi Baitullahil-Haram dalam keadaan beribadah dengan mengerjakan tawaf, sa’I, dan bergunting (bercukur) pada bila-bila masa sahaja asalkan tidak dalam ihram haji.
Hukum menunaikan umrah
Pendapat jumhur ulama’ mengatakan umrah itu wajib dilakukan seumur hidup sekali. Jika diulangi menjadi sunat dan memperolehi pahala yang banyak. Apatahlagi jika ditunaikan dalam bulan puasa. sebuah hadith menerangkan kenyataan ini bermaksud:
“umrah dalam bulan Ramadhan menyamai pahala ibadah haji”
Sabda Rasullullah SAW. :
“haji dan umrah itu kedua-duanya fardhu , tidak mengapa mengerjakan yang mana dahulu”
Kita faham dalam zaman terakhir ini amat sukar untuk menunaikan haji kerana terpaksa menunggu giliran. Namun untuk menunaikan umrah tidak perlu menunggu giliran kerana umrah boleh dirancang dan dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu tunaikanlah umrah dahulu sebagai persediaan. Walaubagaimanapun , adalah sama sekali tidak wajar bagi mereka yang berulang kali menunaikan umrah sunat, tetapi belum menunaikan fardhu haji kerana fardhu atau rukun yang lebih besar iaitu haji perlu diutamakan dan di dalam ibadah haji itu sendiri pun ada perlu diiringi umrah. Maka melakukan yang fardhu perlu diutamakan.

Rukun umrah
1.Berniat ihram umrah
2.Tawaf Ka’abah tujuh kali keliling
3.Sa’I di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali
4.Bergunting atau bercukur(untuk tahallul)
5.Tertib

Wajib umrah
1.Niat ihram di MIQAT.
2.Menjaga pantang-larang ihram
Keterangan

Rukun adalah merupakan perkara asas yang mesti dilakukan. Sekiranya ditinggalkan sesuatu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syaratnya umrah itu tidak sah(batal) dan terpaksa diulangi semula amalan sehingga selesai dan wajib disegerakan qadha’. Orang yang tidak selesai menunaikan amalan umrah sehingga lengkap beerti ia masih dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangannya , walaupun ia telah kembali ke tanah airnya. Ini kerana sesudah berniat umrah tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya, kecuali dam ihsar untuk keluar dari ihram.

Jika seseorang itu melakukan rukun dengan tidak memenuhi syarat juga tidak sah umrahnya dan ia masih tetap dalam ihram. Contohnya seperti tawaf tidak sempurna, maka sainya turut tidak sah.

Wajib umrahnya:
Merupakan kewajipan amalan yang mesti dilakukan sebagai pelengkap rukun. Jika tertinggal yang wajib maka umrahnya sah, tetapi kurang sempurna dan dikenakan dam. Jika ditinggalkan dengan sengaja adalah berdosa. Jika tidak dibayar dam maka tergantunglah pahala amalannya di antara langit dan bumi.

Rukun umrah pertama: NIAT
Sebelum seseorang itu tiba di Ka’abah untuk melakukan umrah , wajiblah ia berniat ihram umrah sebagai satu rukun. Niat ini hendaklah di miqatnya(sempadan) setelah memakai pakaian ihram. Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf maka umrahnya tidak sah, tetapi kalau teringat selepas miqatnya atau ketika sudah tiba di Makkah barulah ia berniat maka sah umrahnya, tetapi dikenakan dam. Maka urusan berniat ihram umrah ini dikaitkan dengan miqat(sempadan) yang akan dihuraikan dalam bab wajib umrah nanti.

Rukun umrah kedua : Tawaf

Tawaf beerti mengelilingi Ka’abah sebanyak tujuh kali dengan syarat-syaratnya. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf itu tidak sah dan umrahnya belum sempurna. Ia masih dalam ihram lagi selagi tidak disempurnakan dengan lengkap dan ia masih dalam pantang larang ihram. Oleh itu berhati-hatilah semasa melakukan tawaf khususnya mengenai pembatalan wudhu’ bagi mazhab Syafi’i jika bersentuh lelaki dan perempuan.

Jemaah tidak boleh melakukan tawaf mengikut mazhab lain kerana syarat mereka sangat berlainan. Antara syarat-syarat tawaf mengikut Imam Syafi’i:
1.Suci daripada hadas kecil dan besar (Yakni ada Wudhu’ )
2.Suci daripada najis
3.Menutup aurat seperti dalam sembahyang
4.Memulakan tawaf dari sudut Hajarul- Aswad
5.Sewaktu tawaf sentiasa menjadikan Baitullah di sebelah kiri, kalau tidak terpesong ia terbatal
6.Tawaf itu hendaklah sebanyak tujuh pusingan dengan sempurna dan yakin. Jika ragu-ragu tambahlah sehingga yakin
7.Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam masjid dengan niat melakukan ibadah. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan atau sebagainya
8.Tidak menyantuh mana-mana bahagian Ka’abah walaupun syazaruan, tembok Hijir Ismail atau rukun Yamani

Rukun umrah ketiga:Sa’i
Sa’I merupakan rukun umrah. Erti Sa’i ialah berjalan di antara Bukit Safa dan Marwah tujuh kali dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang tidak kuasa berjalan bolehlah menggunakan kerusi roda ata usungan. Syarat-syarat Sa’i :
1.Hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sempurna(mengikut tertib)
2.Hendaklah bermula dari Safa dan Marwah untuk satu pusingan dan bagi pusingan berikutnya dari Marwah ke Safa
3.Hendaklah sampai ke tempat tinggi di Safa dan Marwah
4.Tujuh kali dengan sempurna
5.Sa’i kerana ibadah haji atau umrah dan tidak kerana yang lain
6.Sa’i hendaklah di batnul-wadi yang dipanggil mas’a(tempat laluan lazim dan tidak terkeluar dari kawasan itu

Keterangan:
Sa’I tidak perlu berwudu’. Berwudhu’ dan pusingan yang berturut-turut hukumnya sunat sahaja.

Rukun umah keempat: Bercukur/Bergunting

Bercukur atau bergunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai atau bercukur merupakan rukun umrah, yang hanya sah dilakukan sesudah Sa’i yang sempurna. Setelah bergunting beerti sesorang itu sudah bertahallul dari ihram umrah. Ia telah bebas dari pantang larang ihram.

Sebaliknya jika bergunting atau bercukur sebelum sah tawaf dan Sa’i maka jemaah itu belum bertahallul lagi dan masi lagi dalam ihram. ia dikenakan dam kerana kesalahan bergunting itu. Bercukur adalah lebih afdal.

Rukun kelima: Tertib

Tertib dalam rukun umrah bermaksud niat hendaklah didahulukan dari tawaf, selepas tawaf pula dilakukan sa’I dan bergunting. Sesudah bergunting, jemaah sudah bebas dari sebarang larangan ihram atau dipanggil tahallul.

HURAIAN WAJIB UMRAH
Wajib umrah pertama: Berniat di Miqat
Ada dua jenis miqat yang yang terdapat dalam ibadah ini iaitu:

1. Miqat Makani(tempat) umrah
Miqat Makani bermaksud sempadan terakhir untuk berniat
2. Miqat Zamani

Miqat Zamani bermaksud sempadan masa untuk berniat umrah atau haji

Miqat makani

Seseorang yang hendak menunaikan haji atau umrah mestilah berniat sebelum melintasi miqat makani atau sempadan tempat di mana ia hendak berniat ihram. Baginda rasullulah menetapkan miqat haji dan umrah adalah seperti berikut:

a)Qarnul-manzil: Jika jemaah datang dari arah Timur termasuk Asia Tenggara Malaysia terus ke Makkah maka miqatnya ialah kira-kira satu jam sebelum pesawat mendaarat di Jedddah. Jemaaah hendaklah telah memakai ihram dalam pesawat

b)Al-juhfah: Bagi mereka yang datang dari negara Barat seperti dari Eropah , Mesir dan lain-lain maka miqatnya ialah di al-juhfah iaitu 40 minit sebelum pesawat mendarat di Jeddah

c)Bir-ali: Jika jemaah ziarah ke Madinah dahullu maka miqatnya di Bir-ali. Inilah miqat Saidina Rasullulah ketika menunaikan haji iaitu menunaikan haji iaitu kira-kira 10km dari Madinah ke Makkah. Ada masjid tempat jemaah singgah bermiqat di situ

d)Yalamlam: Bagi jemaah yang datang dari arah selatan seperti Afrika, Yaman , Somalia dan lain-lain maka miqatnya ialah di Yalamlam, 100km ke selatan Jeddah atau kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat di Jeddah

e)Zat-irqin: Jemaah yang datang dari negara Iran atau Iraq maka miqatnya ialah di Zat-irqin, kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat di Jeddah

f)Tanah halal:Bagi mereka yang hendak melakukan umrah dan yang telah tinggal atau sudah bermukim di Makkah, maka miqatnyadi Tanah Halal. Yang lazim dilakukan oleh Rasullulah SAW. ialah di Jarannah iaitu 20km dari Makkah atau Tanaim-tujuh kilometer dari Masjidil-haram atau Hudaibah (sumeasyi)kira-kira 16km jalan Jeddah ke Makkah

g)Miqat haji : Bagi jemaah yang hendak menunaikan haji dan telah bermukim di Makkah (lazimnya jemaah haji tamattu’) maka miqatnya di tanah haram sebelum berangkat ke Arafah

Miqat Zamani(masa)umrah
Miqat zamani bagi umrah ialah sepanjang masa selama jemaah tidak dalam ihram haji. Ini beerti umrah boleh dibuat bila-bila masa sahaja

Wajib umrah kedua:

Menjaga pantang larang dalam ihram

Selepas berniat di miqat, jemaah umrah diingatkan supaya menjaga pantang larang ihram, iaitu ada 13 perkara seperti yang berikut:

1.Tidak boleh menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki seperti memakai songkok, meletakkan sesuatu d atas kepala dan sebagainya, tetapi boleh berteduh di bawah pokok atau menggunakan payung

2.Tidak boleh memakai pakaian bersarung atau berjahit dan bercantum lelaki seperti seluar, baju dan sebagainya. Tetapi tali pinggang dan capal berjahit boleh digunakan –kasut yang tidak nampak jari dan tumit tidak boleh dipakai lelaki


3.Tidak menutup muka bagi perempuan. Tetapi tidak mengapa bagi lelaki seperti menutup hidung untuk mengelakkan habuk dan sebagainya. Memakai cermin tidak dilarang

4.Tidak boleh memakai sarung tangan

5.Tidak boleh memakai bau-bauan sama ada pada badan, pakaian , makanan , atau menyedutnya ke dalam hidung. Jika terkena bauan hendaklah segera ditanggalkan. Elakkan mengucup al-hajarul aswad ketika dalam ihram kerana ia dilumur dengan minyak atar

6.Tidak boleh memekai minyak rambut di kepala atau janggut

7.Tidak boleh menanggalkan atau membinasakan rambut atau mana-mana bulu di anggota badan , sama ada dengan sengaja atau tidak

8.Ditegah mengerat, menebang atau mencabut pokok-pokok di tanah haram kecuali pokok yang mati kering

9.Ditegah mengerat atau memotong kuku, juga membinasakannya

10. Tidak boleh memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Halal atau Haram, menyimpan binatang buruan di tanah air seperti burung merbok atau lain dianggap melanggar larangan ihram

11. Dilarang sama sekali bersetubuh. Larangan ini jika dilakukan sebelum tahallul akan membatalkan umrah wajib diqadhakan serta-merta dan membayar seekor unta mengikut peraturan jika dilakukan sebelum tahallul umrah

12. Tidak boleh bercumbu-cumbuan atau merangsang syahwat

13. Tidak boleh aqad nikah secara ijab dan qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain menjadi saksi

Jikalau sesorang atau individu maka terbatallah umrahnya atau hajinya. Yang salah akan dikenakan dam.

Fadhilat umrah:

Ibadat umrah mempunyai falfasah yang cukup besar dan hikmah yang banyak kepada hamba Allah. Antaranya umrah menggalakkan umat Islam mengunjungi Baitullah, iaitu kiblat yang sentiasa digamit atau dihimbau oleh kedua-dua tangan mukmin ketika mereka mengangkat takbiratul ihram.

Rasullulah pernah bersabda mengenai Baitullah yang bermaksud:

“Pada Kaabah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari , iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat Kaabah”

Ini bermaksud memberikan sebesar-besar peluang kepada setiap individu Muslim merebut peluang untuk berada di sisi Kaabah daripada mengunjungi pusat beli-belah.

Satu lagi hadis yang turut menghuraikan mengenai umrah ialah hadith yang bermaksud:

“Satu umrah dengan satu umrah itu satu penghapus dosa, tiada balasan haji yang mabrur itu melainkan syurga”

Ini adalah jaminan Allah melalui Rasullulah terhadap mereka yang mengerjakan ibadah umrah dan haji dengan sepenuh jiwa. Hanya dengan melakukan umrah dan haji sahaja, boleh terhapus dosa seseorang muslim. Dengan itu kita dapat melihat betapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa mempermudahkan umat Muhammad SAW. untuk memohon taubat dariNya, meskipun dalam perjalanan hidup mereka pernah tersalah atau tersadung langkah. Peluang umtuk kembali ke pangkal jalan sentiasa terbuka.

1. Gambar yang pertama ialah gambar seorang lelaki memakai ihram
2. Gambar yang kedua ialah pusingan Kaabah
3. Gambar yang ketiga ialah Hijir Ismail
4. Gambar yang keempat ialah gambar Kaabah yang lama
5. Gambar yang kelima ialah tapak kaki Nabi Ibrahim Alaihissalam


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Izhar Khalif Bin Mat Isa