Selasa, 28 September 2010

Asas-asas Akidah Islamiah

Asas-asas Akidah Islamiah dapat mengubah keperibadian manusia, mengukuhkan perjuangan hidup dan membina pembangunan Rabbani.

Definisi akidah dari segi bahasa bermaksud ikatan dan simpulan tali yang kuat. Manakala definisi akidah dari sudut istilah pula bermaksud perkara-perkara yang dibenarkan oleh jiwa, melahirkan ketenangan di dalam hati tanpa ada ada syak dan ragu. Akidah juga dita’rifkan sebagai kepercayaan yang pasti dan muktamad, tidak bercampur dengan sebarang syak atau ragu di dalam hati seseorang. Melalui ta’rifan tersebut kita dapat mengelaskan bahawa akidah ialah satu keyakinan terhadap sesuatu perkara yang dipegang dengan kuat tanpa sebarang keraguan.

Di samping itu juga, akidah Islam merupakan sesuatu yang bersifat Tauqifi iaitu asas-asasnya telah pun ditetapkan oleh Allah SWT melalui lidah Rasulullah SAW. Kita seharusnya sedar bahawa asas-asas akidah Islamiah dapat mengubah keperibadian manusia. Menurut akidah Tauhid, Allah SWT menjadikan manusia untuk mengabdikan diri kepadaNya. Oleh itu, dengan adanya penerapan yang sempurna mengenai asas-asas akidah Islamiah di dalam diri setiap manusia sedikit sebanyak dapat mengubah keperibadian mereka.

Allah SWT membuat suatu penegasan yang jelas bahawa manusialah yang berhajat kepada Allah sebagaimana firmanNya:

Terjemahan:“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Terpuji. ”(Surah Fatir:15)

Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt.

Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Oleh itu, kita mestilah jadikan peristiwa di atas sebagai pedoman hidup kerana sesungguhnya pembinaan akidah dapat mengubah keperibadian manusia.

Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahankan iman dan mengubah keperibadian lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk keperibadian manusia melalui sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya.

Ringkasnya, pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah.

Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk keperibadian manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alam semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam.

Selain itu, asas-asas akidah Islamiah juga dapat mengukuhkan perjuangan hidup manusia. Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya. Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya untuk meneruskan perjuangan untuk menegakkan Islam.

Di samping itu juga, Saidina Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan sanggup berjuang untuk membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasulullah saw. Saidina Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw hasil dari pendidikan asas-asas akidah Islamiah yang mantap.

Perjuangan-perjuangan para sahabat Rasulullah saw seharusnya dijadikan sebagai iktibar kerana mereka sanggup menggadaikan harta dan nyawa semata-mata untuk menegakkan syiar Islam. Remaja pada masa kini patut diterapkan dengan asas-asas akidah yang sempurna supay a dapat mengukuhkan lagi perjuangan hidup mereka.

Tambahan pula, kita juga dapat mengukuhkan perjuangan hidup dengan melaksanakan salah satu daripada asas-asas akidah iaitu melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan larangannya. Akidah Islam dapat melahirkan insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan terpuji. Mengikis sifat-sifat yang buruk dan melahirkan manusia yang bertaqwa, tawadhu’, ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria’, takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosial dalam masyarakat.

Akidah akan melahirkan seseorang atau sesebuah masyarakat yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai kejayaan di dunia di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah swt supaya mendapat kebahagian di akhirat. Akidah Islam juga dapat mengukuhkan perjuangan hidup dengan melahirkan insan dan masyarakat yang teguh pendiriannya, mempunyai prinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai dan akhlak manusia terutama dengan pelbagai pengaruh hasil kemajuan teknologi maklumat di zaman ini.

Justeru itu juga, asas-asas akidah Islamiah juga dapat membina pembangunan Rabbani. Pembangunan yang berasaskan Islam telah menyatakan bahawa sebarang penguasaan terhadap sesuatu didahului dengan kemajuan dan pembangunan kerohanian manusia. Tumpuan pembangunan seperti ini ialah pembinaan dan pembangunan insan yang berasaskan ketinggian rohani, mengikut acuan yang ditentukan oleh al-Quran.

Al-Quran menjadi sumber rujukan yang menggerakkan pembangunan yang berpusatkan pada pembangunan manusia. Proses pembangunan ini berlaku di bawah bimbingan Rasulullah SAW. yang tidak terkeluar daripada kehendak al-Quran. Arahan dan bimbingan baginda telah melahirkan generasi al-Quran yang unik dengan roh dan minda yang dicernakan dalam acuan al-Quran itu sendiri.

Dalam proses pembinaan insan rabbani yang terbentuk sahsiahnya daripada ketinggian roh, al-Quran memberi penekanan kepada pembentukan minda al-Quran yang bertitik tolak daripada keimanan dan pandangan hidup yang jelas serta mempengaruhi corak kehidupan generasi pertama Islam dan menentukan bentuk tingkah laku serta akhlaknya. Minda al-Quran berteraskan keimanan ini, akan melahirkan pembentukan aktiviti akal yang cergas untuk berfikir. Melalui aktiviti akal yang sebeginilah akan tercetusnya dorongan-dorongan dan perkembangan dalam masyarakat yang akan menggerakkan pelbagai bentuk perubahan yang positif.

Akal yang sentiasa dihidupkan dengan aktiviti berfikir tidak mungkin statik, bahkan ia sentiasa dinamik dan berkembang. Dari sumber inilah generasi Islam yang pertama mendapat kekuatan dan inspirasi untuk bergerak dan mara ke hadapan, di mana ia menjadi tenaga penggerak yang teguh dan mendorong ke arah pembangunan Rabbani. Generasi yang dibentuk dengan asas-asas akidah Islam adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas. Matang dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina.

Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan lupa diri bila diberi kejayaan, kerana itu semua adalah dari Allah. Inilah akal yang sihat dan minda al-Quran yang perlu dihidupkan dalam masyarakat Islam hari ini. Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan serta tidak mementingkan diri sendiri.

Pembangunan dan pemodenan hari ini melahirkan manusia yang sering hilang pertimbangan dan mudah menjadi keliru. Yang tidak tahu batas-batas agama, dan tidak kurang juga yang mahu bercakap dengan hujah-hujah tetapi sebenarnya jahil dan menyesatkan. Maka, untuk menyelamatkan manusia daripada kekeliruan ini, kita perlu mempunyai agenda pembangunan Rabbani yang baik dan tersusun, yang dapat membetulkan arah dan matlamat hidup yang berasaskan wahyu Ilahi serta mengukuhkan kembali moral kehidupan manusia.

Pada saat seperti inilah kita perlu melihat kembali kepada nilai-nilai yang dibawa oleh al-Quran dan beramal dengan nilai-nilai tersebut. Hanya melalui penghayatan nilai-nilai Islam yang menyeluruh mampu untuk membina kembali tapak kemajuan yang kukuh, dan menuju kepada matlamat yang jelas dan terang.

Memang telah jelas dan terbukti bahawa asas-asas akidah Islam mengandungi landasan yang lurus dan prinsip-prinsip yang membawa kemajuan dan kesejahteraan hidup. Tetapi harus juga difahami bahawa yang menentukan keberkesanan prinsip-prinsip kehidupan itu ialah cara bagaimana kita mengamalkan agama. Cara bagaimana kita memahami Islam dan bagaimana kita beramal dengannya juga turut menentukan sama ada prinsip-prinsip Islam itu berkesan di dalam membina kemajuan atau sebaliknya.

Untuk itu, kita perlu kepada perubahan tanggapan terhadap kehidupan dan pemikiran supaya serasi dengan tuntutan al-Quran demi membentuk generasi Muslim yang diidamkan. Sebarang bentuk aktiviti individu dan masyarakat hendaklah menjurus kepada pengabdian mutlak kepada Allah SWT. dengan berlandaskan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Masyarakat perlu disedarkan bahawa hidup ini adalah sementara dan manusia diberi tugas yang berat sebagai khalifah untuk mentadbir alam. Untuk itu, asas-asas akidah patut dijadikan panduan bagi merangka corak kehidupan manusia dalam segenap aspek.

Justeru, dalam usaha untuk membina pembangunan Rabbani, kita harus melihat dengan serius cara kita beragama. Kita harus mengkaji adakah cara masyarakat kita beragama itu berada di dalam keadaan yang benar-benar serasi dengan ajaran Islam dan menepati kehendak beragama yang sebenar.

Tambahan lagi, ibadah menjadi benteng pertahanan dan asas kekuatan untuk menangkis godaan hawa nafsu dan syaitan yang dapat memelihara akidah umat Islam. Ibadah yang sempurna lahir dari iman yang mantap dan ia merupakan bukti keimanan seseorang kepada Allah. Ibadah khusus utama iaitu solat yang dituntut lima kali sehari semalam dan perlaksanaan dari segi fizikal dan spiritual. Antara kesan-kesannya ialah dapat membina personaliti yang cemerlang dan baik serta mencegah diri dari melakukan perkara mungkar dan dapat membina pembangunan Rabbani.

Allah menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadat dan mengabdikan diri semata-mata dalam firmanNya:

FIRMAN ALLAH SWT: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk tunduk dan beribadat kepadaKu”(Surah Al-Zariyat:56)

Asas-asas akidah Islamiah dapat diklasifikasikan dengan meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagi teras utamanya. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai teras pegangan dan rujukannya. Gabungan kemantapan akidah Islamiah adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan membina pembangunan Rabbani untuk melahirkan umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang.