Selasa, 28 September 2010

Islam Agama Fitrah

Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diakui Allah. Firman Allah bermaksud ;

"Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai Allah ialah agama Islam. " ( Ali Imran : 19 )

Islam adalah saru cara hidup yang sempurna , yang dicipta sendiri oleh Allah dan juga merupakan nikmat Allah kepada kita. Firman Allah bermaksud ;

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepadamu juga aku redha Islam menjadi agama untuk kamu. " ( Al Maidah : 03 )

Oleh kerana hanya Islam sahaja satu - satunya agama ( cara hidup ) yang benar dan sempurna , maka Allah memerintahkan kita menerima Islam seluruhnya. Firman Allah bermaksud ;

"Wahai orang - orang yang beriman ! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mematuhi segala hukum - hukum dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang terang nyata. " ( Al Baqarah : 208 )

Oleh kerana hanya Islam sahaja satu - satunya agama ( cara hidup ) yang diisi Allah , maka Allah melarang kita mencari cara hidup selain daripada Islam. Firman Allah bermaksud ;

"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam , maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat kelak ia termasuk ke dalam golongan orang - orang yang rugi. " ( Ali Imran : 85 )

Yang dimaksudkan oleh fitrah itu ialah hati atau roh manusia. Sebenarnya roh atau hati manusia mempunyai perasaan. Perasaan itulah agama.

Tetapi bila belum ada perintah dari Tuhan, tidak dinamakan agama. Walaupun belum didatangkan arahan perintah atau larangan dari Tuhan, ia sudah ada dalam diri seseorang. Agama Islam itu adalah agama fitrah, jadi apa yang ada dalam hati seseorang itulah yang Allah suruh.

Dalam sepotong hadis Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Tiada bayi yang lahirkan melainkan ia dilahirkan dalam fitrah, maka ibu bapa dialah yang menjadikan dia yahudi, nasrani atau majusi, sebagaimana lahirnya binatang yang sempurna sifatnya (kejadiannya).

Apakah ada binatang yang lahir terputus telinganya?” Kemudian Abu Hurairah RA. membacakan ayat yang bermaksud:

“Fitrah yang Allah jadikan pada semua manusia tiada perubahan pada apa-apa yang diciptakan oleh Allah. Itulah agama Allah yang lurus. ” (Riwayat Imam al-Bukhari, no. 1385, Muslim no. 2658)

Makna perkataan fitrah ialah suci, bersih (Islam). Berdasarkan kepada hadis ini jelas kepada kita bahawa setiap anak adam yang lahir ke dunia ini dalam keadaan yang suci mengikut ketentuan Allah SWT.. Maka ibu bapalah yang berperanan dalam mendidik anak-anak mengikut acuan masing-masing. Sebab itulah dalam sabda Rasulullah SAW. tiada perkataan ‘dilahirkan dalam Islam’, maksudnya anak adam itu lahir dalam keadaan fitrah yang dikehendaki oleh Allah.

Justeru, jodoh bagi diri manusia atau pasangan bagi jiwanya ialah Islam. Apabila manusia memilih cara hidup selain Islam kita akan dapati fitrahnya akan memberontak, kehidupannya tidak lagi teratur, akhirnya dia mudah terdedah kepada kesesatan, kerosakan. Puncanya salah memilih santapan spiritual (kerohanian).

Islam adalah satu agama yang mengandungi ajaran-ajaran yang dapat digunakan oleh umat manusia dalam mengharungi hidup yang semakin mencabar ini. Ajaran Islam sudah lengkap serta sempurna dan satu-satunya agama yang diakui disisi Allah subhanahua ta'ala, seperti yang dinyatakan dengan firmannya dalam surah Al-Imran ayat 19

Maksudnya : ' Sesungguhnya agama yang diakui disisi Allah ialah Islam '

Allah subhanahua ta'ala telah menurunkan agama Islam itu dengan selengkap-lengkapnya, mengandungi petunjuk-petunjuk yang diperlukan dan agama yang diredhai Allah untuk dijadikan pedoman dalam segala hal. Firman Allah ta'ala dalam surah Al-Maidah ayat 3, Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan aku telah cukupkan kepadamu nikmatku, dan aku telah diredhai Islam ini menjadi agamamu '

Kesempurnaan agama Islam, bukan sahaja kerana ajarannya yang serba lengkap, sanggup menghadapi zaman, tetapi juga kerana sesuai dengan tabiat dan fitrah kejadian manusia, Sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud : hadapkanlah seluruh dirimu dengan betul-betul kepada ciptaanku Allah, yang dijadikannya manusia sesuai dengan agama itu. Itulah agama yang benar, tapi kebanyakan manusia tidak mengetahui '

Sebahagian dari ajaran Islam, yang setiap waktu dapat digunakan menjadi pedoman dan ujian dalam menilai hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang sesuai dengan perkembangan fikiran dan kemajuan.

Salah satu kaedah umum menurut ajaran Islam ialah, bahawa setiap orang akan mencapai prestasi atau hasil sesuai dengan usaha yang dilakukannya. Sekiranya amalan banyak, tentu hasilnya pun banyak, sebaliknya, kalau amalan sedikit, maka sedikit pulalah hasil yang didapatinya.

Ketentuan yang demikian, ditegaskan oleh Allah dalam Al-Quran surah An-Najm ayat 39-41 yang bermaksud : 'dan sesungguhnya manusia itu hanya memperolehi apa yang diusahakannya, dan bahawa hasil usahanya itu kelak akan dilihatnya, kemudian diberikan kepadanya balasan yang cukup '

Jelaslah bahawa ukuran yang dipakai oleh Islam untuk memberikan hasil kepada manusia, ialah berdasarkan usaha yang dilakukan samada amal ibadat dan aktiviti keduniaan, dan lain-lain. Dalam ajaran Islam, tidak ada perbezaan antara sesama manusia, semua manusia sama sahaja, kedudukannya disisi Allah. Dalam pada itu, Allah sentiasa menunjukkan limpah rahmatnya dan kasih sayangnya dalam memberikan balasan yang lebih baik terhadap perbuatan-perbuatan kebajikan, sedangkan terhadap perbuatan-perbuatan kejahatan, hanya diberikan balasan siksa yang serupa dan seimbang dengan kejahatan yang dilakukan, seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran, surah Al-Qasas ayat 84

Maksudnya : ' Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, nescaya ia mendapat balasan yang lebih baik dari perbuatannya itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, maka orang-orang yang mengerjakan itu, tidak dibalas atau dihukum melainkan sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya '

Menurut ajaran Islam, setiap orang yang bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri. Dia tidak boleh memikulkan beban dosa yang dilakukan atas perbuatannya itu kepada orang lain, walaupun orang yang berkenaan bersedia memikulnya.

Seorang ayah atau ibu tidak dipertanggungjawabkan atas perbuatan atau dosa anaknya. Begitu pula seorang suami terhadap dosa dan perbuatan isterinya, kecuali jika dia menjadi punca mereka melakukan dosa dan demikian pula sebaliknya. Seperti mana firman Allah dalam surah At-Thur ayat 21 yang bermaksud :

' Setiap orang yang bertanggungjawab terhadap apa yang dikerjakannya '. Firman Allah lagi dalam surah Al-Muddasir ayat 38 yang bermaksud : ' Tiap-tiap diri, terikat dengan apa yang diusahakannya '

Maksud kedua-dua ayat ini ialah, bahawa setiap orang akan menerima pahala atau siksa yang seimbang setimpal dengan perbuatan. Dalam Al-Quran banyak terdapat kisah-kisah yang menunjukkan keadaan yang demikian. Umpamanya nabi Allah Ibrahim AS. seorang yang beriman kepada Allah sedang ayah kandungnya sendiri seorang musyrik. Nabi Allah Nuh AS. tidak mampu menolong isteri dan anaknya ketika terjadi taufan, sehingga kedua-duanya itu tenggelam dalam banjir yang melanda, sebab mereka tidak beriman. Firaun adalah seorang raja yang engkar terhadap Allah, malah mengakui dirinya menjadi tuhan, sedang isterinya bernama Asiah adalah seorang muslimat. Kesemua kisah tadi menjadi contoh, bahawa masing-masing bertanggungjawab atas perbuatan sendiri.

Islam tidak memikulkan sesuatu kewajipan ke atas bahu seseorang, kecuali menurut kemampuan masing-masing. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah subhanahua ta'ala. Oleh sebab itulah, maka dalam peraturan pelaksanaan kewajipan-kewajipan ibadah solat, solat itu wajib dikerjakan dalam keadaan badan berdiri tegak. Tetapi sekiranya tidak mampu kerana sakit dan sebagainya, bolehlah dikerjakan dalam keadaan duduk atau keadaan berbaring, gerakan anggota atau isyarat mata. Sekiranya tidak mampu juga dengan hati dan ingatan.

Sabda Rasulullah Allah yang bermaksud : Kerjakanlah sesuatu amal menurut kemampuan kamu, jauhilah apa yang aku larang kepada kamu, dan apa-apa yang aku perintahkan hendaklah kamu kerjakan menurut kesanggupan kamu, '

Sesungguhnya agama Islam melarang sesuatu perbuatan atau tindakan yang merugikan diri sendiri dan yang merugikan orang lain. Dilarang menyakiti diri sendiri, membunuh diri, mencuri, menipu, bersubahat, fitnah menfitnah atau menjatuhkan diri sendiri ke lembah kesengsaraan walaupun dengan motif sebab apa sekalipun. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 195

Yang bermaksud : " Janganlah kamu menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam jurang kebinasaan"

Hukum-hukum dan peraturan Islam pada umumnya sesuai dengan pendapat dan pertimbangan akal. Ada yang halal dan ada yang haram, semua ini ada rahmat dari Allah untuk manusia yang harus dimanfaatkan. Demikianlah hakikat hukum Islam. Dengan dasar dan titik tolak yang demikian, maka Al-Quran memperingatkan, supaya jangan lekas-lekas menjatuhkan hukum haram terhadap sesuatu hal, jika tidak secara terang-terangan diharamkan oleh nas Al-Quran dan Sunnah.

Firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 32 yang bermaksud : ' Katakanlah, siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambanya dan siapa pulalah yang mengharamkan rezeki yang baik-baik'

Dari ayat tadi dapatlah difahamkan, bahawa perhiasan ataupun makanan dan minuman yang tidak terang-terang dilarang atau diharamkan Allah, adalah nikmat dan rahmat illahi yang diharuskan oleh Allah subhanahua ta'ala.

Kesimpulannya, agama Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dalam apa sahaja aspek kehidupan. Ia adalah agama yang mengatur cara hidup manusia di dunia ini agar sentiasa harmoni tidak sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita menghayati agama Islam yang sempurna ini untuk mencapai kejayaan yang mutlak di dunia serta di akhirat.


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Robiatun Binti Noor Din