Selasa, 28 September 2010

Hubungan Kehancuran Umat Dengan Dosa Dan Maksiat

Umat Islam adalah umat petunjuk dan pemimpin, yang dipilih Allah SWT untuk menjalankan risalah-Nya yang kudus, yang diturunkan kepada-Nya kitab yang termulia, berupa cahaya yang terang dan sebutan yang bijaksana. Kepadanya diturunkan rasul yang termulia, nabi yang terbaik dan tersuci di antara para nabi dan orang-orang suci. Nabi yang dimaksudkan tidak lain dari nabi kita, Muhammad bin Abdullah.

Dengan demikian, maka jelaslah bagi kita bahawa umat Islam adalah umat syahadah (umat yang tampil menjadi saksi) kelak di hadapan Tuhan: “Agar kamu menjadi saksi atas manusia, dan Rasul menjadi saksi pula atas kamu”.

Allah SWT memilih umat ini. Lalu, umat ini pun memikul amanah dengan jujur, menyampaikan dakwah dengan azam yang jitu, berjihad di jalan Allah SWT dengan sebenar-benar jihad, menyerahkan jiwa dan raganya. Kerana itu, maka Allah SWT memuliakannya dan setelah itu menjadikannya sebaik-baik umat di kalangan manusia, membukakan apa-apa yang menutupi hati sebagaimana terbukanya di hadapannya tempat keluar dan tempat bertahan.

Setiap tempat yang ia masuki bermaksud untuk kemakmuran, bukan meruntuhkan; membangunkan bukan menghancurkan: bersaudara dan tolong-menolong, bukan hendak menipu dan menjajah. Di tangan umat Islamlah perintis kemakmuran lebih daripada tiga abad lamanya.

Tetapi kemudian, lemahlah kekuasaan itu apabila hilang pusat kekuatannya, iaitu kekhalifahannya. Dengan mudah ia dimasuki oleh negara-negara kafir, lalu membahagikannya menjadi beberapa umat, walaupun sebelumnya mereka adalah satu umat.

“Inilah umat kamu yang satu, dan Aku adalah Tuhan Kamu, maka hendaklah kamu menyembah Aku. ”

Negeri mereka dipecah-pecahkan oleh Negara-negara kafir menjadi banyak pemerintahan, walaupun sebelumnya mereka adalah sebuah Negara yang bersatu-padu, diperintah oleh satu pemimpin, memounyai satu ilmu, yakni ilmu tauhid dan kesatuan.

Inilah musibah-musibah yang tidak pernah berhenti menimpa kaum Muslimin: cubaan, bala, dan malapetaka dating silih berganti seolah-olah tidak ada negeri lain yang didatanginya kecuali negeri dan tempat tinggal kaum Muslimin.

Peranan kita dari segi politik, pemikiran, akhlak, sosial dan banyak lagi tidak bersinar di negeri umat Islam, seolah-olah kita tidak pernah memperoleh kemuliaan, seolah-olah kita bukan anak-anak orang yang pernah mempunyai kemegahan dan kewibawaan.

Kita adalah keturunan mereka yang telah meninggikan ilmu jihad, mereka yang telah menakluki banyak Negara, mereka yang telah membawa manusia ke tempat yang aman dan selamat, yakni Islam.

Umat Islam dahulu merupakan pemimpin yang didengar kata-katanya dan dipatuhi perintahnya; kekuasaan dari segi politik, sekian lama berada di tangan kita, laungan kita disambut dan seruan kita dijawab oleh seluruh penghuni dunia, kerana mereka yakin akan kejujuran kita.

Lalu, apakah yang mencampakkan kita hingga membalikkan sejarah kemegahan itu? Kita berpecah-belah kerana tingkah laku kita seperti Saba’, arah dan usaha kita ditentukan oleh umat yang lain, kerana suara mereka di telinga kita lebih menakutkan dari ngauman serigala?

Kelemahan kitalah yang menyebabkan orang-orang yang lemah berani menguasai kita, akhirnya kita diperalat sesuka hati oleh orang-orang jahat, kita diperintah oleh orang-orang berdosa. Kita memang sudah lemah di mata keluarga dan diri kita sendiri.

Kita tahu bahawa Allah SWT mempunyai sunah yang tidak akan berubah-ubah; sunah untuk alam, untuk umat, individu dan jemaah.

Umat yang berjalan mengikut aturan ini, hidup bersama hidayah, berusaha ke arah kemuliaan dengan sungguh-sungguh dan menyempurnakan ketakwaannya, akan sampai ketempat tujuan dan mencapai cita-citanya, kerana Allah SWT akan menolong dan memeliharanya.

Kita semua tahu bahawa tidak ada seorang pun di antara manusia mempunyai pertalian keturunan dengan Allah SWT. Orang yang mulia hari ini dengan memtaati Allah SWT, boleh menjadi hina esok dengan sebab membuat maksiat kepada Allah SWT. Siapa yang berusaha di jalan Allah SWT, akan ditunjuk Allah SWT kepadanya jalan menuju kemuliaan serta ketinggian, diberikan kepadanya kahidupan yang tenteram dan harmoni.

“Sesiapa beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, maka Kami akan memberikan kehidupan yang elok baginya. ”

Benarlah apa yang dijanjikan Allah SWT. Alangkah eloknya kehidupan orang yang beriman, alangkah harmoninya hidup dengan petunjuk Tuhan. Inilah hujung perjalanan dan kesudahan cita-citanya di dunia dan di akhirat. Sedang Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang takwa dan orang-orang yang berbuat baik.

Apabila seseorang berjalan di jalan syaitan, akan di mudahkan Allah SWT baginya jalan menuju kehinaan dan kecelakaan. Alangkah mudahnya bagi Allah SWT menjadikan apa saja, jika mereka berani mensia-siakan suruhan-Nya dan melalaikan hukum dan agamanya.

Imam Ahmad meriwayatkan di dalam Musnadnya, daripada Abdirrahman bin Jubair bin Nufair, daripada ayahnya, katanya: “Tatkala Qibrish ditakluki, dipecah-belahkan di antara penduduknya maka saling menangislah sesama mereka. Ketika itu saya melihat Abu Darda’ duduk sendirian sedang menangis. Saya bertanya: ‘Wahai Abu Darda’, apa yang menyebabkan engkau menangis pada hari Tuhan memuliakan Islam dan penganutnya?’ Ia menjawab: ‘Celaka engkau wahai Jubair, alangkah mudahnya bagi Allah s. w t membuat sesuatu apabila mereka mensia-siakan suruhanNya, lebih-lebih lagi ketika mereka menjadi umat yang gagah perkasa dan menguasai pemerintahan lalu mereka meninggalkan perintah Allah SWT, jadilah mereka seperti yang engkau lihat sekarang. ”

Hadis Abu Darda’ ini memberi keterangan yang dapat menyingkap sebab-sebab yang tersembunyi di bawah tabir umat kita sekarang. Ketika kita berada di dalam kekuasaan dan mempunyai kewibawaan di dunia, keyika kita memiliki senjata dan kekayaan hingga kita mempunyai pengaruh yang kuat di seluruh dunia, ketika ucapan kita di dengar dan perintah kita dipatuhi umat-umat yang lain.

Namun ketika kita sudah meninggalkan suruhan Tuhan, tidak mempedulikan aturan agama, melencong daripada jalan lurus yang digariskan Allah SWT untuk kita, jalan yang terang dan jelas yang kita disuruh menurutinya, tetapi kita lebih suka menuruti jalan yang bengkok, akhirnya jadilah kita umat yang berpecah-belah, berpuak-puak, hina dan tidak dihargai.

Ingatlah bahawa semua keburukan dan penyakit yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada manusia, penyebabnya ialah dosa-dosa yang mereka lakukan. Keburukan apa pun yang mereka terima di dunia dan di akhirat, tidak lain ialah kerana kemaksiatan dan tindak-tanduk yang melanggar ketentuan Ilahi, mereka abaikan suruhan Allah SWT, dan mereka perbuat larangan-Nya.

Setiap umat yang diseksa dan dihinakan, dahulu dan sekarang, adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan. Tidak diturunkan azab melainkan kerana dosa, dan tidak terangkat dosa melainkan dengan taubat.

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Siti Sarah Bt Che Dan