Isnin, 27 September 2010

Mukmin Sejati

Iman menurut bahasa bererti kepercayaan, lawannya dusta. Umpamanya satu kaum beriman dan satu kaum lagi mendustakannya. Menurut Ibnu Astir, mukmin di dalam 99 nama Allah Taala bermaksud orang yang mempercayai Allah dan janji-janjiNya. Itulah maksud keimanan atau kepercayaan. Atau mereka mempercayai wujudnya hari Kiamat dan seksaan Allah. Menurut Zajjaj, “Iman ialah melahirkan ketaatan dan penerimaan terhadap syariat Ilahi dan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW iaitu meyakini dan mempercayainya dengan hati. Maka orang yang bersifat dan berkeyakinan seperti ini, merekalah orang yang mukmin, bukan orang yang penuh dengan keraguan dan kebimbangan. Mereka akan dapat melaksanakan perkara-perkara yang fardhu. Perkara-perkara itu adalah wajib tanpa sebarang keraguan dan kebimbangan sedikitpun di dalam hati mereka.

Iman; hendaklah kita percaya kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari Akhirat dan hendaklah kita percaya dengan qadar ketentuan baik dan buruknya. Rasulullah SAW telah menjelaskan agama itu mempunyai tiga peringkat: Peringkat pertama ialah Ihsan, peringkat kedua iaitu peringkat pertengahan ialah Iman dan peringkat ketiga ialah Islam. Maka setiap muhsin adalah mukmin. Setiap mukmin itu adalah muslim. Tetapi tidak setiap mukmin itu muhsin dan tidak setiap muslim itu mukmin.

Beberapa untaian ayat-ayat Allah Taala dan hadis yang membahaskan tentang iman dan orang-orang mukmin, menyatakan bahawa iman itu merupakan gerakan, perbuatan dan getaran hati yang besar, yang akan berpengaruh dalam kehidupan dan berperanan dalam mencipta wajah kehidupan. Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menunjukkan agar berlindung pada keteguhan iman di dalam hati. Bagaimana kita akan membayangkan selain itu, sedangkan asas keimanan itu ialah iman kepada Allah Taala, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari Akhirat disembah melainkan Allah dan iman wujudnya Qada’ dan Qadar, ketentuan Allah SWT. baik dan buruknya. Islam dapat diketahui melalui lima tiang iaitu menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawasanya Rasulullah SAW. itu pesuruh Allah, mengerjakan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji.

Dr. Abdul Halim Muhammud mengemukakan: “Sesungguhnya kata Islam yang diletakkan sebagaimana bagi sebuah agama yang diredhai Allah Taala, agama yang tidak terikat dengan keadaan zaman dan tidak pula terbatas pada sebuah tempat, dalam pengertiannya mengandungi makna akhlaqiyah yang tinggi. Kata tersebut berkehendakkan penyerahan diri kepada Allah SWT. Pada suatu ketika Rasulullah SAW pernah ditanya tentang Islam. Lalu baginda menjawab: Hendaklah hatimu menyerah kepada Allah, dan hendaklah orang-orang muslim itu selamat daripada lisan dan taganmu. Dalam hadis-hadis lain Rasulullah SAW mentafsirkan Islam dengan beberapa amal perbuatan yang kelihatan, pada apa yang baginda juga tafsirkan iman dengan keimanan kepada sumber yang lima. Dengan demikian jadilah iman itu menduduki darjat yang lebih tinggi. Oleh itu, jika diungkapkan sebutan iman itu sendiri, maka sebutan itu juga mengandungi erti Islam dan syarat-syaratnya.

Islam itu bersifat zahir iaitu tidak tersembunyi, manakala iman pula tersembunyi, di dalam hati sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis. Oleh kerana itulah maka iman yang terdapat di dalam hati termasuk suatu hal yang wajar dipamerkan segala sesuatu kepada perbuatan dan tindakan terhadap sesuatu keperluan. Sekiranya tidak disertakan dengan tindakan, pasti sesuatu yang terkandung di dalam hati itu menjadi lemah dan goncang. Akibatnya tingkat keimanan tidak dapat berkembang.

Rasulullah SAW. telah menjadikan iman itu menduduki bahagian tengah antara beberapa darjat agama. Sebagaimana baginda telah menjadikan iman itu pada beberapa bahagian dalam sabdanya yang bermaksud iman itu antara enam puluh tiga sampai enam puluh sembilan atau tujuh puluh tiga sampai tujuh puluh sembilan bahagian. Paling utamanya perkataan “Laa ilaaha illallaahu. ” Dan paling rendahnya ialah menjauhkan sesuatu yang dapat menyakitkan dari jalan. Dan sifat malu itu sebahagian daripada iman.

Ibnu Taimiyah menunjukkan bahawa sebutan iman kadangkala disebutkan dengan sendirinya tanpa disertai dengan sebutan Islam, amal soleh dan tidak pula dengan sebutan keduanya. Dan pada suatu saat disebutkan secara beriringan, baik dengan sebutan Islam ataupun dengan sebutan orang-orang yang telah diberi ilmu. Dan lafaz mukminun secara beriringan dengan sebutan dalam firman Allah Taala yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, dan orang-orang Nasrani berserta orang-orang Shobi’in, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.

Iman Ali karramallah wajhah mengatakan; “iman itu ditegakkan atas empat tiang pengukuh: kesabaran, keyakinan, keadilan dan perjuangan. Kesabaran pula ditegakkan atas empat bahagian iaitu, kerinduan, perhatian (ketakutan) zuhud dan penantian. Barangsiapa merindui untuk masuk syurga, pasti ia akan melupakan hawa nafsu. Barangsiapa takut masuk ke neraka, nescaya dia akan menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram. Barangsiapa menjauhkan diri daripada kesenangan dunia untuk beribadah, nescaya dia akan memandang kecil terhadap beberapa musibah yang terjadi. Barangsiapa merasa bahawa dirinya sedang menanti kematian, nescaya dia akan banyak melakukan kebajikan. ”

Keyakinan juga ditegakkan atas empat bahagian: penggunaan kecerdasan, penerangan hikmah, iaitu untuk mencapai kepada hakikat-hakikatnya, nasihat tauladan dan sunnah orang-orang terdahulu. Barangsiapa yang mahu menggunakan kecerdasan untuk berfikir, nescaya akan nampak pada dirinya suatu hikmah. Barangsiapa telah nampak pada dirinya suatu hikmah, nescaya dia akan mengenal suatu tauladan, seakan-akan dia hidup pada zaman orang-orang terdahulu.

Keadilan ditegakkan atas empat bahagian iaitu, tinggi pemahaman, tinggi ilmu pengetahuan, rahsianya keindahan hukum dan kekukuhan kesabaran. Maka barangsiapa yang telah faham, nescaya dia akan mengetahui akan ketinggian ilmu pengetahuan. Barangsiapa telah mengetahui ketinggian ilmu pengetahuan, nescaya dia kembali kepada syariat-syariat hukum. Barangsiapa yang bersabar, nescaya dia tidak akan pernah lalai terhadap urusannya dan hidupnya terpuji di kalangan manusia.

Jihad atau perjuangan daripada tiang ilmu pengetahuan, ditegakkan atas empat bahagian iaitu: perintah kepada yang makruf, larangan dari yang mungkar, kejujuran di beberapa tempat tinggal dan medan perang di jalan Allah dan kebencian terhadap orang-orang yang fasik. Maka barangsiapa yang telah memerintahkan kepada yang ma’ruf, dia telah memperkukuh tunggak-tunggak orang mukmin. Barangsiapa yang telah mencegah perkara-perkara mungkar, dia telah menundukkan kesombongan orang-orang kafir. Barangsiapa berlaku jujur di beberapa tempat tinggal, menampakkan keberanian di beberapa medan peperangan melawan golongan kafir di jalan Allah, maka dia telah melaksanakan tugasnya. Barangsiapa membenci orang-orang fasik dan marah terhadap mereka hanya kerana Allah, nescaya Allah juga marah terhadap mereka kerananya. Pada hari Kiamat nanti Allah SWT. akan meredhainya. Jawapan lain tentang keimanan, Imam Ali mengatakan: “iman ialah suatu pengakuan dengan hati, pengucapan dengan lisan dan pelaksanaan terhadap rukun-rukun. ”

Tentang khabar gembira keimanan itu, para sahabat, tabi’in, dan seluruh pemimpin kaum muslimin bersepakat bahawa sesiapa sahaja di dalam hatinya masih terdapat rasa keimanan walaupun seberat zarah, maka dia tidak akan kekal di dalam neraka. Mereka juga bersepakat bahawa junjungan kita Rasulullah SAW. akan memberi syafaat kepada sesiapa saja yang diizinkan Allah untuk diberi syafaat, termasuklah ahlul kaba’ir iaitu mereka yang melakukan dosa-dosa besar dari kalangan umatnya.

Tentang hal ini, lebih diperkuatkan lagi oleh Ibnu Taimiyah. Menurutnya jika sebahagian iman mereka telah keluar kerana sesuatu sebab atau hal-hal lain, maka iman ini tidak akan pergi atau hilang secara keseluruhannya. Beliau juga menyangkal pendapat orang yang mengatakanbahawa iman itu bila telah pergi sebahagiannya, semuanya akan hilang. Beliau menjelaskan lagi bahawa pendapat seperti ini merupakan sumber tersebar luas perbuatan bid’ah dalam masalah keimanan.

Pandangan Ibnu Taimiyah ini berbeza dengan apa yang telah dikatakan oleh Imam Bukhari mengenai masalah iman. Bahawa iman itu ialah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang. Ini juga adalah pendapat kebanyakan para pemimpin umat Islam.

Itulah sebuah berita gembira bagi orang yang beriman dengan keimanan yang tiada putus. Khabar ini sebagai rangsangan untuk kita lebih mendalami keimanan, serta memperjuangkan diri untuk mencapai tingkat keimanan yang sempurna. Sehingga kita dapat menyaksikan setiap cahaya baru dalam kehidupan kita dengan bersandarkan keindahan iman.

Allah SWT. menerangkan tentang peralihan manusia dalam tahap-tahap penciptaannya daripada satu bentuk ke satu bentuk berikutnya. Asal penciptaan manusia adalah daripada tanah, kemudian diciptakan daripada air mani, daripada air mani dijadikan segumpal darah, daripada segumpal darah dijadikan segumpal daging, kemudian menjadi tulang-belulang dan ditiupkan roh padanya. Akhirnya keluar dari rahim ibunya dalam keadaan lemah, kurus dan tidak berdaya. Setelah itu mulai membesar sedikit demi sedikit sehinggalah terjadinya seorang bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Itulah kekuatan sebagai pemuda selepas kelemahan sebagai bayi. Lambat laun kekuatan itu menurun dan semakin berkurang pada saat menjelang masa tua. Kemudian menjadi orang tua dan itulah kelemahan sesudah kekuatan. Keinginan, gerakan dan kekuatan pun semakin lemah, rambut mulai beruban. Dialah Tuhan yang melakukan apa yang dikehendakiNya dan bertindak terhadap hambaNya dengan apa yang Dia inginkan.

Sebelum Allah Taala menciptakan kita, asal kita masih lagi berupa tanah. Ini merupakan kematian yang pertama. Kemudian Allah Taala menghidupkan kita, lalu menciptakan kita. Ini merupakan kehidupan yang pertama. Setelah itu Allah akan mematikan kita, sehingga kembali ke kubur. Inilah bentuk kematian yang kedua. Kemudian Allah Taala akan membangkitkan kita kembali dari dalam kubur itu pada hari Kiamat. Inilah kehidupan yang kedua. Begitulah mengenai dua kali hidup dan dua kali mati. Ini bererti, segala kenyataan yang telah dikemukakan oleh Ibnu Abbas itu adalah benar. Ini adalah mukjizat hidup dan mati.

Setelah Allah Taala menyebutkan sebuah dalil atau bukti tentang penciptaan mereka dan apa yang mereka saksikan dalam diri mereka, maka Allah SWT. juga menyebutkan dalil lain daripada apa yang mereka saksikan iaitu penciptaan langit dan bumi. Mengenai penelitian ayat ini terdapat dalam surat As-Sajadah. Dalam hal ini menunjukkan, bahawa Allah Taala terlebih dahulu menciptakan bumi, kemudian menciptakan tujuh lapisan langit, begitulah teknik pembangunan. Pertama bermula, membangun bahagian bawah, setelah itu membangun bahagian atasnya. Para ahli tafsir menerangkan demikian.

Dari Abdillah bin Salam, mengatakan: “Sesungguhnya Allah Taala telah memulakan penciptaan itu pada hari Ahad. Pada hari Ahad dan Isnin Allah menciptakan bumi. Pada hari Selasa dan Rabu Allah Taala menciptakan beberapa makanan dan gunung-ganang. Pada hari Khamis dan Jumaat Allah Taala menciptakan beberapa langit. Pada ketika saat itulah Allah Taala menciptakan Adam dengan segera. Pada hari Jumaat juga akan terjadinya Kiamat.

Allah telah menciptakan bumi sebagai tempat kita tinggal. Menjadikan pada bumi itu gunung-ganang dan sungai-sungai. Menjadikan untuk kita beberapa tempat tinggal dan rumah-rumah. Memperbolehkan atau mengizinkan kita menikmati dan mengambil manfaat-manfaatnya. Menundukkan awan bagi kita untuk mengeluarkan rezeki-rezeki kita darinya dan menjadikan berbagai macam sumber kehidupan di muka bumi untuk kita; iaitu beberapa mata pencarian, penghasilan dan beberapa sebab lainnya sehingga kita dapat berniaga di muka bumi ini. Walaupun demikian, kebanyakan kita masih kurang bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah SWT. berikan kepada kita.

Iman kepada Allah mempunyai ikatan hubungan yang erat dan kuat dengan tujuan penciptaan, iaitu ibadah seperti dalam firmanNya yang bermaksud “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. ” Sesungguhnya Allah SWT. telah menciptakan kita, tiada lain untuk memerintahkan kita agar kita menyembah kepada Allah Taala. Dan bukanlah kerana Allah Taala memerlukan kita.

Ibnu Abbas mengatakan: “Melainkan supaya mereka menyembahKu” iaitu: kecuali kita sentiasa menyembah pada Allah, baik dalam keadaan suka atau terpaksa. Dan begitu menurut ikhtiar Ibnu Jarir (At Thabari).

Allah Maha Pengasih Lagi Penyayang tidak akan mengecewakan atau mensia-siakan permohonan hambaNya yang berdoa dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melupakan dan melalaikanNya. Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar segala permohonan. Dalam ayat tersebut juga terdapat dorongan kepada doa. Bahawa doa itu sekali-kali tidak akan pernah tersia-sia di sisiNya. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Imam Ahmad. Dikhabarkan dari Anas, bahawa Rasulullah SAW. bersabda. Sabdanya yang bermaksud: Seorang hamba akan sentiasa baik selama ia tidak terburu-buru. Mereka bertanya: “Bagaimana terburu-buru itu?” Baginda menjawab: “Apabila ia mengatakan: Sesungguhnya aku telah memohon kepada Tuhanku, akan tetapi Dia masih belum mengabulkan padaku. ”

Di antara sifat-sifat orang mukmin ialah tidak terburu-buru atau tidak akan pernah berputus asa kepada rahmat Tuhannya. Dan tidak pula akan putus cita-cita terhadap Allah. Walaupun banyak melakukan perbuatan dosa, maka Dialah Tuhan Yang Maha Menerima Taubat daripada hamba-hambaNya. Allah SWT. berfirman yang bermaksud: “Tidakkah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan menerima zakat, dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. ”

Salah satu di antara iman kepada Allah ialah menyerahkan diri kepada kehendak Allah terhadap makhlukNya. Allah SWT. berfirman yang bermaksud: Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki, mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia itu jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan yang sedikit”. Allah mengemukakan, bahawasanya Dialah Tuhan yang meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa saja yang Dia kehendaki. Peringatan begini bagiNya mengandungi kebijaksanaan dan keadilan. Allah mengembirakan orang-orang kafir itu dengan kehidupan dunia yang telah mereka terima, untuk menarik mereka secara beransur-ansur kepada kebinasaan. Kemudian Allah mencela kehidupan dunia bila dibandingkan dengan sesuatu yang telah dipersiapkan untuk hamba-hambaNya yang mukmin.

Di antara sifat-sifat orang mukmin ialah beriman kepada Allah, Malaikat dan RasulNya. Ats-Tsauri mengatakan: ayat-ke 177 pada surah Al Baqarah, semua ini merupakan berbagai-bagai bentuk kebajikan, dan sungguh benar kekasih Allah. Barangsiapa yang memiliki sifat-sifat seperti yang terdapat dalam ayat ini, maka sesungguhnya ia telah memasuki segenap sudut-sudut Islam dan mengambil atau menggenggam segala kebajikan. Itulah iman kepada Allah Taala, bahawa tidak ada Tuhan yang hak melainkan Dia, dan mempercayai adanya para malaikat yang berfungsi sebagai duta antara Allah dan rasul-rasulNya.

Sedekah dan amal jariah juga merupakan sifat-sifat orang mukmin. Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak berkehendakkan balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih. ”

Sifat lain orang mukmin ialah khusyuk dalam sembahyang. Hasan Basri mengatakan: Kekhusyukan itu berada di dalam hati. Oleh kerana itu mereka menundukkan pandangan dan merendahkan diri. Muhammad bin Sirin mengatakan: Para sahabat Rasulullah SAW. mengangkat pandangannya ke langit ketika mereka melakukan sembahyang. Akan tetapi kemudian mereka menundukkan pandangan ke tempat sujud pada saat mengerjakan sembahyang setelah turun ayat yang pertama dan ayat kedua daripada surah Al Mukminun yang bermaksud: “Telah beruntunglah orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya. ”

Renungilah keadaan dan alam semesta yang akan membawa kepada keimanan, menguatkan dan mengukuhkannya iaitu berkat kebenaran pintu menuju iman. Pada waktu yang sama, ia merupakan satu daripada beberapa perangai orang-orang mukmin yang benar atau yang boleh dipercayai. Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil mengatakan: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. ”

Allah Taala berfirman, mencegah hamba-hambaNya yang beriman menjadikan orang-orang munafik itu sebagai teman kepercayaan, iaitu memberitahukan kepada mereka (orang-orang munafik itu) akan rahsia-rahsia mereka dan sesuatu yang mereka simpan dan mereka sembunyikan terhadap musuh-musuh mereka. Orang-orang munafik itu terus-menerus dengan segala kemampuan dan berbagai macam cara yang mungkin, berusaha menimbulkan kemudharatan dan menentang orang-orang yang beriman. Mereka lakukan penipuan secara berulang-ulang dengan segala sesuatu yang mampu mereka lakukan. Dan mereka menyukai dan melakukan apa yang dapat menyusahkan dan mempersulitkan orang-orang yang beriman. Selain dari kamu pemeluk-pemeluk beberapa agama selain agama Islam. Dan teman kepercayaan lelaki itu secara khusus adalah keluarganya, iaitu mereka yang mengetahui akan segala urusannya.

Akhir sekali ialah balasan orang-orang mukmin. Allah SWT. menerangkan kepada kami dengan apa yang telah Dia janjikan bagi orang-orang mukmin lelaki dan perempuan berupa kebaikan dan kesenangan yang kekal di dalam syurga sebagai bangunan yang baik dan tempat menetap yang indah dan ke dalam hadis disebutkan yang bermaksud: Dari Abi Hurairah mengatakan: kami pernah bertanya: “Ya Rasulullah, beritahulah kepada kami tentang Syurga. Apa bangunannya?” Beliau bersabda: “Batu merah terbuat daripada emas dan batu merah (batu bata) dibuat daripada perak. Lepannya iaitu lumpur yang digunakan untuk menurap dinding adalah misk. Batu-batunya, iaitu kerikilnya adalah mutiara dan yakut. Dan debunya adalah sfran. Barangsiapa yang memasukinya, ia akan hidup senang dan tidak akan pernah bosan dan dia akan hidup kekal tidak akan pernah mati. Pakaiannya tidak akan pernah lusuh atau usang dan dia akan awet muda. Demikianlah balasan Allah kepada orang-orang mukmin.


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Nurul Nabila Bt Zulkifli