Isnin, 27 September 2010

Halal Dan Haram

Halal dan haram sudah dikenali di kalangan manusia semenjak dahulu lagi, semenjak Allah mengutus manusia ke permukaan bumi. Walaupun terdapat beberapa perbezaan di kalangan mereka mengenai sebab-sebab dan jenisnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengharamkan sesuatu itu berdasarkan dongeng dan khurafat. Kemudian Allah Taala menurunkan agama kepada manusia melalui para Rasul-Nya dengan membawa peraturan dan undang-undang berkenaan dengan halal dan haram, bagi mengengkat martabat manusia dan membasmi kepercayaan-kepercayaan khurafat dan dongeng-dongeng yang masih terdapat dikalangan mereka. Bagaimanapun, sebahagian daripada yang halal dan yang haram itu disesuaikan dengan keadaan lingkungan dan ianya berkembang mengikut perkembangan akal dan tamaddun manusia.

Islam telah memberikan sesuatu batas tertentu untuk menentukan halal dan haram, iaitu dengan melucutkan hak tersebut dari tangan manusia, walau betapapun tingginya kedudukan manusia tersebut dalam bidang agama mahupun duniawinya. Hak tersebut semata-mata berada di tangan Allah. Barangsiapa yang mencuba tampil dengan mengatakan bahawa ini haram dan ini halal, tanpa berdasarkan kepada Al-Quran dan As Sunnah, bererti talah melanggar sempadan haknya selaku makhluk, dan menetang hak Allah dalam menetapkan perundangan untuk umat manusia. Allah Taala juga telah mengecam orang-orang musyrik yang berani mengharamkan dan menghalalkan tanpa izin-Nya, sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, yang bermaksud :

“Katakanlah! Apakah kamu sudah mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah untuk kamu daripada rezeki, kemudian kamu jadikan daripadanya itu haram dan halal.. ? katakanlah! Apakah Allah telah member izin kepadamu, ataukah kamu memang berdusta atas (nama) Allah?”

Mengharamkan sesuatu yang halal boleh disamakan dengan mempersekutukan Allah (syirik). Inilah sebabnya al-Quran menetang keras sikap orang-orang musyrikin Arab terhadap sekutu-sekutu (berhala) mereka, dan sikap mereka yang berani mengharamkan atas diri mereka makanan dan binatang yang baik-baik, padahal Allah tidak mengizinkan perbuatan itu. Terdapat pelabagai jenis halal dan haram yang boleh dibahagikan termasuk halal dan haram di dalam kehidupan yang mungkin tidak semua manusia sedar di atas perbuatan tersebut.

Jenis halal dan haram yang pertama ialah halal dan haram dalam bidang mata pencarian. Allah Taala telah memanfaatkan bumi ini bagi manusia mencapai sesuatu yang diingininya. Maka hendaklah manusia memanfaatkan nikmat Allah ini dengan sebaik-baiknya serta berusaha sesuai dengan bidang dan kemampuannya. Setiap muslim tidak dihalalkan bermalas-malas mencari rezeki bagi keperluan hidupnya dan ahli keluarganya dengan alasan kerana sibuk beribadah. Tidak dihalalkan juga bagi seseorang muslim menggantungkan dirinya kepada orang lain seperti meminta-minta atau menunggu sedekah orang lain kepadanya sedangkan dia masih mampu untuk menanggung orang-orang yang berada bawah tanggungannya.

Perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang tidak disukai dalam islam. Islam menganjurkan umatnya untuk bekerja bagi memelihara martabat dirinya. Bagi seorang muslim, dibolehkan melakukan pekerjaan apa saja asalkan halal seperti bertani, berniaga, mendirikan kilang dan seumpamanya. Dalam setiap bidang pekerjaan itu ada segi-segi yang boleh mengharamkannya.

Sebagai contoh di dalam bidang pertanian, perkara yang diharamkan adalah seperti mengusahakan lading yang diharamkan oleh Allah seperti lading ganja (hasyisy), menanam anggur untuk dijadikan arak dan lain-lain. Pemilik tanah boleh mengusahakan tanahnya sendiri atau meminjamkan kepada orang lain untuk menguruskannya jika pemilik sibuk. Jika menjadi pegawai pula, hendaklah menjadi pegawai yang tidak membahayakan kaum muslimin seperti sesorang muslim tidak halal bekerja sebagai tentera yang memusuhi islam. Oleh itu, hendaklah mereka menjadi pegawai yang amanah dan tidak menerima atau memberi rasuah.

Pekerjaan yang diharamkan oleh islam pula ialah melacur. Menjadi pelacur telah menjadi kebiasaan masyarakat jahiliyyah dahulu. Selain itu, mengukir dan membuat salib juga haram di sisi islam. Rasulullah SAW telah bersabda :

“ barangsiapa yang menggambar suatu gambar, maka nanti Allah Taala akan menyiksanya, sehingga dia dapat meniupkan roh kepadanya, sedangkan dia tidak akan mampu meniupkan roh (kepada gambar yang dibuatnya itu) ”

Membungakan wang juga salah satu pekerjaan yang haram di sisi islam. Islam mengharamkan sesorang yang meminjamkan wangnya kepada orang lain, dengan syarat peminjam dikehendaki memberi keuntungan ketika membayarnya, seperti lima persen dan sebagainya. Hukum wang itu adalah riba.

Jenis halal dan haram dalam islam yang kedua pula ialah halal dan haram dalam lapangan muamalah. Apabila sesuatu itu dihukumkan haram, maka memperjual belikannya adalah haram dan wang hasil penjualannya juga adalah haram. Islam memberikan kebebasan pasaran dan menyerahkannya kepada hukum naluri tetapi jika keadaan pasaran tidak normal, umpama kerana penyimpangan barang oleh sebahagian perniaga, maka ketika itu hendaklah di dahulukan kepentingan umum daripada kepentingan perseorangan. Pihak berkuasa hendaklah bijaksana dalam menetapkan harga sehingga tidak merugikan kedua-dua belah pihak dengan meletakkan harga yang adil dan saksama dan jangan membiarkan suatu pihak berlagu zalim terhadap pihak lain dengan meletakkan harga sesuka hati.

Adalah haram jika mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam islam. Islam menyuruh manusia menyempurnakan sukatan dan timbangan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“ Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan jujur, kerana Kami tidak memberati seseorang melainkan menurut kemampuannya. ”

Selain itu, seseorang muslim tidak dihalalkan membeli barang hasil rompakan mahupun curian dan hukumnya sama dengan merompak dan mencuri. Dosa ini tidak akan terhapus kerana lamanya barang yang dicuri dan dirompak itu kerana menurut pandangan syariat islam, lamanya waktu itu tidak akan menjadikan sesuatu yang haram itu menjadi halal, sedangkan hak milik pemilik asalnya tidak akan gugur dengan berlalunya waktu itu.

Jenis-jenis jual beli yang diharamkan adalah seperti Bai’ Bi al-‘Inah iaitu jual beli yang dilakukan oleh seseorang dengan pembeli secara hutang, kemudian barang itu dijual semula kepada pemilik barang itu dengan harga yang kurang daripada harga belinya dan dibayarnya dengan tunai. Kedua, Bai’ Bi al-Half iaitu jual beli secara bersumpah. Seorang penjual banyak bersumpah dalam menawarkan barang jualannya kepada pembeli. Rasulullah SAW. melarang penjual bersumpah dalam melakukan barang jualannya. Ketiga ialah Bai’ Bi al-Ikrah iaitu jual beli yang dilakukan kerana adanya paksaan daripada pihak ketiga. Jual beli seperti ini bertentangan dengan prinsip jual beli dalam syariat islam, yang menyatakan bahawa jual beli itu mestilah berlaku dalam keadaan saling meredai atau dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Perkara halal dan haram yang ketiga pula ialah halal dan haram dalam makanan dan minuman. Pada zaman Jahiliyyah, orang-orang Arab mengharamkan sebahagian haiwan kerana kotor dan sebahagiannya pula mengharamkan haiwan kerana ada hubungannya dengan masalah peribadatan seperti bahirah, saibah dan ham. Melalui firman-Nya, Allah Taala memanggil manisua supaya suka memakan hidangan besar yang baik yang telah disediakan oleh Allah kepada mereka. Supaya manusia tidak mengikut jejak syaitan yang selalu menggoda manusia supaya mengharamkan kebaikan-kebaikan yang dihalalkan Allah.

Antara binatang yang diharamkan ialah binatang yang dicekik, di pukul, yang mati dimakan binatang buas adalah termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala dalah semakna dengan yang disembelih bukan kerana Allah. Allah Taala telah menyatakan di dalam firman-Nya bahawa bangkai binatang itu adalah haram iaitu binatang yang mati dengan sendirinya tanpa disembelih mengikut syariat Islam atau kerana berburu.

Makanan kedua yang diharamkan ialah darah yang mengalir kerana darah itu kotor. Diyakini juga bahawa darah itu akan menimbulkan penyakit atau bahaya kepada sesiapa yang memakannya. Selain itu, daging babi juga adalah haram dan najis. Memakan daging babi itu salah satu penyebab wujudnya cacing pita yang bahaya bagi manusia.

Adapun yang dimaksudkan dengan keharaman bangkai adalah haram memakannya. Manakala memanfaatkan kulit, tanduk, tulang atau rambutnya tidak terlarang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, bahawa menyamak kulit menjadikan kulit kambing tersebut menjadi halal.

Khamar atau arak adalah merupakan bahan yang mengandungi alcohol yang memabukkan. Arak itu boleh menghalang seseorang untuk menunaikan kewajipan agamanya yang bersifat rohaniyyah seperti melakukan zikir. Rasulullah SAW. mengatakan bahawa memperjualbelikan arak juga adalah haram. Oleh yang demikian adalah haram hukumnya bagi orang islam untuk mengimpot arak, menjual arak, membuat arak atau bekerja di kedai yang menjual arak. Rasulullah SAW. bersabda bagi memperjelas firman Allah yang termaktub dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang berbunyi :

“ Sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan arak, maka barang siapa yang telah mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, maka janganlah dia meminumnya dan jangan pula menjualnya. ”

Selain itu, pekara yang halal dan haram ialah di dalam hiburan dan permainan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda bahawa dalam islam ini juga ada masa untuk berhibur. Bahkan Rasulullah SAW. mengatakan, Baginda diutuskan oleh Allah dengan suatu agama yang bertimbangrasa. Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur dan bermain, namun Islam memberikan batas-batasnya agar permainan dan hiburan yang dilakukan tidak bercampur dengan perbuatan yang dilarang dan melalaikan seseorang dalam melaksanakan kewajipannya kepada Allah.

Jenis-jenis permainan yang dihalalkan adalah seperti lumba lari, memanah, gusti, menunggang kuda, bermain pedang, berburu dan lain-lain lagi. Rasulullah pernah memberikan dorongan kepada pemanah-pemanah dengan sabda Baginda yang berbunyi :

“ Hendaklah kamu belajar memanah, kerana memanah itu adalah sebaik-baik permainan kamu. ”

Islam juga membenarkan ummatnya berhibur dan bermain, namun perkara itu hendaklah dilakukan dengan sekadarnya. Perlu diketahui oleh kaum muslimin masa kini bahawa nilai dan makna hiburan sekarang sudah dipesongkan oleh musuh-musuh islam menjadi salah satu cara untuk merosakkan akhlak kaum muslimin. Ini adalah kerana sebahagian besar perfileman antarabangsa didominasi oleh Yahudi.

Pandangan Islam tentang menyanyi dan bermain muzik pula ialah nyanyian adlah suatu hiburan yang boleh menyenangkan jiwa. Islam tidak melarang nyanyian, selama nyanyian itu tidak dicampuri oleh bahasa yang kotor, bahasa yang merangsang nafsu seksual dan seumpamanya. Adapun nyanyian dan muzik yang dikatakan sebagai haram dan makhruh oleh para ulama ialah nyanyian atau muzik yang berlebih-lebihan disertai dengan meminum ara, percampuran antara lelaki dan perempuan serta berlakunya perbuatan haram. Sebagaimana yang dimaksudkan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:

“ Dan sebahagian manusia ada yang menggunakan lahw al-hadis (perkataan-perkataan yang tidak berguna) untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu sebagai bahan olok-olok. Mereka akan memperoleh seksa yang hina. ”

Jenis-jenis halal dan haram yang terakhir pula ialah halal dan haram dalam kepercayaan dan tradisi. Akidah awal yang ditanamkan oleh islam ke dalam jiwa ummatnya ialah bahawa alam semesta yang didiami manusia ini tidak berjalan dengan sendirinya tanpa aturan dan bimbingan. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“ Katakanlah... ! tidak ada yang dapat mengetahui perkara yang ghaib di langit mahupun di bumi melainkan Allah. ”

Islam tidak hanya membatasi dosa itu untuk tukang nujum saja, tetapi orang yang datang dan bertanya kepada mereka juga dikira sebagai orang yang sudah sesat bersama tukang nujum tersebut. Andainya ada orang yang mengaku mengetahuinya melalui ilmu nujum dan teleknya, maka orang itu perlu diragui keimanannya.

Sehubungan dengan itu, maka islam juga mengharamkan sihir dan menetang keras perbuatan sihir. Rasulullah SAW. mengatakan bahawa sihir adalah salah satu dosa besar yang boleh menghancurkan suatu kaum. Termasuk dalam kategori kepercayaan yang diharamkan dalam islam ialah memakai tangkal atau menggantungkan tangkal di rumah dengan beranggapan bahawa tangkal itu boleh menyembuhkan penyakit atau melindungi diri daripada sesuatu bahaya.

Sebagai umat islam juga, kita diharamkan untuk merayakan Hari Valentine kerana ia bukan tradisi islam. Hari valentine adalah hari yang diperingati bagi generasi muda kristian pada setiap tanggal 14 Februari dengan tema saling mencurahkan kasih saying berpunca daripada kematial salah seorang paderi di Rom yang bernama Valentino. Malahan hari ini juga diperingati oleh kaum muda seluruh dunia sebagai hari kekasih termasuk juga pemuda-pemudi Islam yang seakan-akan digalakkan oleh media massa yang sepatutnya tidak perlu sibuk dengan hari kematian paderi Valentino itu.

Islam sentiasa memiliki hari kasih saying tanpa memilih hari-hari tertentu. Kasih saying dalam Islam sepanjang masa dan ketika sesuai dengan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:

“Tidak beriman salah seorang daripada kamu, hingga dia mengasihi saudaranya (sesama islam) sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri ”

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Nur Izzati Bt. Ibrahim